Kerajaan komited bantu B40, miskin bandar miliki rumah

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited membantu golongan B40 dan miskin bandar bagi memiliki rumah, biarpun berdepan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi, terutama di kawasan pesat membangun.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk membangunkan semula kawasan usang di bandar besar, supaya berwajah baru, ‘vibrant’ dan mampu berdaya saing, sekali gus memperbaiki visual dan meningkatkan nilai hartanah di kawasan berkenaan.

“Dalam menyahut cabaran-cabaran yang saya sebutkan ini, baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.

“Panduan ini bertujuan membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan,” katanya pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Razakmas2 di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, inisiatif tu hanya sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri, yang bersifat mampu milik dan selesa.

Muhyiddin berkata, sejak setahun lalu, banyak lagi bantuan yang telah diberikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk membelanjakan RM40 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Ia untuk kerja-kerja membaiki bumbung, tangga, mengecat bangunan serta kerja-kerja pembaikan utiliti, yang melibatkan 63 projek di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) selain 13 projek di Labuan. Ini semuanya dilaksanakan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara,” katanya.

Muhyiddin berkata, penyempurnaan projek Residensi Razakmas 2 yang tertangguh selama 10 tahun adalah bukti niat ikhlas, tumpuan dan usaha gigih kerajaan, memastikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.

Beliau turut berkongsi kegembiraan 395 pemilik Residensi Razakmas2, yang merupakan penduduk asal Perumahan Awam Sri Labuan, yang menerima kunci rumah baharu mereka di mana ia jauh lebih selesa berbanding perumahan awam itu yang hanya berkeluasan 400 hingga 528 kaki persegi, dengan hanya satu atau dua bilik sahaja.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 395 pemilik rumah yang menerima kunci rumah Residensi Razakmas2 secara percuma, serta kepada 245 penyewa (di Perumahan Awam Sri Labuan) yang ditawarkan pemilikan rumah dengan harga subsidi RM198,000.

“Selepas inisiatif pembaharuan semula (Perumahan Awam Sri Labuan) yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, pemilik Residensi Razakmas2 akan mendapat rumah berkeluasan 805 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta yang berbumbung, dewan serba guna dan taman permainan,” katanya.

Beliau berkata, nilai pasaran semasa sekitar rumah berkenaan kini ialah RM300,000, berbanding nilai rumah sebelum ini yang dibeli dengan harga RM21,000 hingga RM28,000, iaitu peningkatan 10 kali ganda.