Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kg

Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa harga minyak masak di pasaran. - Gambar FB KPDNHEP Selangor

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengkaji kemungkinan menetapkan harga siling minyak masak botol lima kilogram (kg) mengikut harga pasaran semasa.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata perbincangan mengenai harga siling itu akan diadakan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan, Rabu ini.

“Mesyuarat akan membincangkan bagaimana hendak mengatasi masalah kenaikan harga minyak masak.

“Keputusan itu penetapan harga siling minyak masak, kita akan tengok dalam mesyuarat nanti,” katanya mengulas kenaikan harga minyak masak dalam botol 5kg yang terlalu tinggi sejak kebelakangan ini.

Beliau menjelaskan harga minyak masak 5kg meningkat susulan kenaikan harga minyak sawit mentah sekarang ini.

Pada masa sama Rosol membidas dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang bahawa minyak masak sekilogram yang diberi subsidi oleh kerajaan adalah minyak kitar semula.

“Kerajaan menyediakan kuota sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak sekilogram bersubsidi sebulan untuk seluruh negara dan jumlah dijangka mencukupi memandangkan kadar purata penggunaan minyak masak sekeluarga adalah 1.8 kilogram sebulan,” katanya.

Rosol berkata beliau bimbang sekiranya terdapat peniaga yang akan mengambil kesempatan terhadap subsidi minyak masak dan sehubungan itu, pegawai KPDNHEP akan sentiasa turun padang bagi melakukan pemantauan.

Katanya sejak 13 Mei tahun lepas hingga kini, KPDNHEP sudah memeriksa 590,876 premis perniagaan termasuk stesen minyak, restoran, pasar raya dan pusat beli-belah serta mengeluarkan 346 kompaun bernilai RM1.091 juta kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

POPULAR