Kerajaan kaji tangga gaji minimum bela nasib pekerja

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan sedang mengkaji semula kadar gaji minimum bagi memastikan ia kekal relevan dalam keadaan sosio ekonomi semasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa prihatin berhubung isu gaji minimum dan berusaha membela hak pekerja dengan lebih baik.

“Saya berharap dan menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2021 yang disiarkan di televisyen hari ini.

Kajian semula itu katanya, adalah antara usaha yang diambil kerajaan yang menggariskan tiga strategi utama sejak setahun lalu bagi membantu golongan pekerja berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Katanya, strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan terutamanya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaiannya kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama tiga hari.

Selain itu katanya, amalan kerja akan ditambah baik dan pelaksanaan kehidupan yang lebih seimbang (work life balance) melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel.

Dalam usaha mengurangkan jumlah pengangguran, beliau turut menyentuh usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), pusat sehenti UpskillMalaysia dan program Short-term Employment Program atau MySTEP.

Di bawah program MySTEP, seramai 30,377 telah berjaya mendapat pekerjaan sejak diperkenalkan sehingga 16 April lepas.

Muhyiddin berkata, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara, kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperkenalkan Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

POPULAR