Kerajaan kaji semula undang-undang muflis: PM

June 26, 2022 · Isu semasa

Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan susulan kebimbangan terhadap kadar peningkatan golongan belia yang diisytiharkan muflis, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteribeliau akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlaimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berhubung masalah tersebut.

“Kerajaan pernah menaikkan nilai ambang kebankrapan (daripada RM50,000 kepada RM100,000), kita pernah tangguhkan tindakan undang-undang melibatkan kebankrapan pada 2020 semasa pandemik.

“Percayalah masa depan anak muda jadi agenda utama,” katanya.

Data terkini Jabatan Insolvensi menunjukkan hampir 60 peratus daripada 46,132 rakyat Malaysia yang mengisytiharkan muflis dari 2018 hingga Mei tahun ini berumur antara 25 dan 44 tahun.

Data rasmi juga menunjukkan bahawa hampir 42 peratus daripada mereka yang mengisytiharkan muflis dalam tempoh empat setengah tahun lalu adalah disebabkan pinjaman peribadi.

Ini diikuti oleh hampir 15 peratus yang menyenaraikan pembelian kenderaan sebagai faktor mengisytiharkan muflis, dan lebih daripada 13 peratus kerana pinjaman perniagaan.

Sementara itu Bernama melaporkan, Ismail Sabri berkata fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas telah menjadi titik tolak kepada pemulihan ekonomi negara yang kini berada pada momentum yang baik, sekali gus menurunkan kadar pengangguran di negara ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sehingga April 2022, kadar pengangguran negara berjaya diturunkan kepada 3.9 peratus, berbanding 4.6 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.

“Ini merupakan kali pertama kadar pengangguran menurun di bawah empat peratus sejak pandemik Covid-19 dengan bilangan penganggur kekal pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut,” katanya.

Menurutnya pandemik Covid-19 telah mengubah landskap pekerjaan negara dengan kadar pengangguran pada 2020 dan 2021 berada di tahap yang tertinggi iaitu pada kadar 4.5 peratus dan 4.6 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Katanya, penutupan beberapa sektor ekonomi menjadikan kadar pengangguran negara meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020 iaitu kadar pengangguran bulanan yang tertinggi pernah dicatatkan.

Justeru, kerajaan telah melaksanakan karnival kerjaya sejak Oktober 2021 sebagai sokongan bagi menjamin kelangsungan Keluarga Malaysia memiliki kehidupan yang baik selepas pandemik Covid-19.

Pada tahun ini sahaja, kerajaan menyasarkan peluang pekerjaan sehingga 600,000 dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, katanya.

Perdana Menteri berkata mengikut Laporan Tenaga Buruh Malaysia, DOSM, seramai 2,750 graduan telah berjaya ditempatkan melalui Program Peningkatan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP).

Selain itu, seramai 2,479 belia juga berjaya ditempatkan melalui Insentif Pekerjaan Jamin Kerja khusus untuk perantis melalui Skim Perantisan Nasional (SPN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan, dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi-agensi di bawah tiga kementerian ini.

“Sehingga 8 Mei lepas, MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) berjaya menempatkan seramai 649 peserta daripada 3,596 pemohon termasuk belia dalam pekerjaan teknologi dan perkhidmatan digital.

“Selain itu, sehingga 30 April lalu, seramai 2,060 graduan telah ditempatkan di bawah inisiatif Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bagi pelaksanaan program peningkatan kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan,” katanya.

Berita berkaitan
Rafizi dakwa ada surat bocor kaitkan Najib berhubung kontrak LCS
August 8, 2022· Isu semasa
PN sahkan masih sokong PM, tidak timbul isu tarik sokongan: Annuar
August 7, 2022· Politik
PN beri komitmen sokong PM sehingga diadakan PRU-15: Ronald
August 7, 2022· Politik
PM hanya ambil kira pandangan parti sendiri, bukan pandangan bersama: PAS
August 6, 2022· Politik
Popular
RM93,300 untuk belanja sambutan hari jadi isteri Zahid, kata saksi
August 10, 2022
Model pakai seksi: Kerajaan PAS panggil penganjur minggu fesyen
August 10, 2022
Peguam baharu Najib tarik diri jika kes rayuan diteruskan: Laporan
August 10, 2022
Kajian ubah cuti rehat hujung minggu diserah kepada Sultan Johor
August 10, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Hishammuddin perlu jawab tiga persoalan isu kapal tempur TLDM
3 jam lalu · Isu semasa
Bot karam di Pulau Redang: Tiga nelayan lemas, dua masih hilang
3 jam lalu · Isu semasa
RON97 turun lagi 10 sen
3 jam lalu · Isu semasa
Hishammuddin sokong dedah laporan audit forensik kapal LCS
6 jam lalu · Isu semasa
Saksi beritahu tak siasat VIP lain didakwa terima wang UKSB
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Bersatu serah memorandum tubuh RCI siasat projek LCS
8 jam lalu
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
August 8, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok