Kerajaan fail permohonan batal tuntutan waris Sultan Sulu

Kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris Sultan Sulu pada 3 Mac lepas di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu dibuat bagi memastikan keputusan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan selain memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut, lapor Bernama.

Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia melalui prosiding timbang tara antarabangsa itu adalah tidak sah dan melanggari undang-undang.

“Ini kerana pelantikan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan dikeluarkan beliau tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Feb 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, Dr Stampa bagaimanapun tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris dan telah meneruskan prosiding timbang tara sehinggalah beliau mengeluarkan Final Award tersebut.

Ismail Sabri berkata kerajaan tegas dengan pendirian bahawa Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 Sept 1963 dan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan negeri Sabah.

“Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad.

“Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR