Kerajaan belum benarkan Ivermectin diguna rawat pesakit Covid-19

India dan Peru menarik balik penggunaan Ivermectin, kenapa kita mahu gunakannya kalau tidak ada indikasi?, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika menjawab persoalan dibangkitkan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Isu berkaitan penggunaan Ivermectin – sejenis ubat antiparasit – untuk merawat pesakit Covid-19 menghangatkan sesi penggulungan Ahli Parlimen mengenai Tindakan Mengatasi Covid-19 hari ini.

Dr Adham ketika mempertahan serta memperjelaskan tindakan kerajaan untuk tidak menggunakan ubat itu meskipun didesak oleh beberapa Ahli Parlimen dari blok pembangkang agar penggunaannya dibenarkan dalam rawatan Covid-19.

Sivarasa berpendirian kebenaran penggunaan Ivermectin perlu diberikan kepada doktor persendirian dalam memberikan rawatan dengan persetujuan pesakit.

Dr Adham bagaimanapun menjelaskan perkara itu tidak boleh dilaksanakan kerana data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaan ubat tersebut belum diketahui.

“Kita telah beri kelulusan khas ubat itu secara ‘off label’ bagi ujian klinikal…18 hospital kerajaan terlibat dalam kajian klinikal akan melibatkan 500 pesakit Covid-19. Buat masa sekarang, kita ada 200 pesakit akan sertai kajian ini. Keputusan kajian akan diperoleh September tahun ini.

“Bukan Ivermectin sahaja untuk rawat Covid-19, jangan kelirukan Dewan dengan kebenaran untuk menggunakan Ivermectin sehingga diketahui data kajian. (Ivermectin) ada kesan sampingan.

“Negara India dan Peru tarik balik penggunaan Ivermectin… kenapa kita mahu gunakannya kalau tidak ada indikasi?” katanya.

Sivarasa, yang mengalu-alukan kajian itu, bagaimanapun tetap meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tidak menghalang doktor persendirian menggunakan ubat tersebut.

Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) turut mencelah dan berkata: “Jika mereka (pesakit) sanggup mengambilnya (Ivermectin), (maka) berikan kepada mereka.”

BERITA BERKAIT
POPULAR