Kerajaan batal mohon lucut hak harta RM16 juta keluarga Azeez Rahim

Kerajaan menarik balik permohonan melucut hak wang tunai hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa keputusan itu dibuat Jabatan Peguam Negara berikutan surat representasi yang dikemukakan oleh responden (keluarga Abdul Azeez), lapor Bernama.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan dan terdapat perkembangan dari segi siasatan dan juga adanya surat susulan (berhubung representasi) daripada pihak responden bertarikh 15 Februari 2022 di mana Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menarik balik permohonan melucut hak harta tersebut.

“Sehubungan itu, perintah pelepasan (harta) akan dibuat boleh pihak pendakwa raya,” katanya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian membatalkan permohonan kerajaan tersebut dan melapangkan tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan pada 21 Jun ini.

Peguam Datuk Prem Ramachandran dan Sharvin Raj yang mewakili keluarga Abdul Azeez hadir pada prosiding itu.

Pada 8 Februari lepas, Nik Haslinie memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan ahli keluarga Abdul Azeez pada 4 Februari lepas berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta tersebut.

Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik Khadijah, empat anaknya iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR