Kerajaan AS sumbang derma PBSM bantu mangsa banjir

Sumbangan sebanyak RM420,000 disalurkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia untuk digunakan bagi tujuan membantu mangsa banjir.

Dalam satu kenyataan, sumbangan dana tersebut menurut Kedutaan AS disalur menerusi Agensi Pembangunan Antarabangsa AS kepada PBSM dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

“Bagi pihak rakyat AS, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di Malaysia, baru-baru ini.

“Bagi meringankan usaha membantu, kerajaan AS melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat, menyumbangkan RM420,000 kepada PBSM Malaysia, dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

“Dana ini bagi menyokong penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada isi rumah yang terjejas dengan banjir di Malaysia, termasuk memberi perkhidmatan perubatan, pencegahan penyakit dan kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan sama, ChargĂ© d’affaires Kedutaan AS di Malaysia, Michael Newbill, berkata pihaknya menghargai usaha gigih PBSM Malaysia dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dalam bertindak balas terhadap bencana banjir itu, selain kerja berterusan menyokong usaha bantuan COVID-19.

Beliau berharap dana berkenaan akan membantu mereka dalam usaha memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Saya dan rakan sekerja juga bekerjasama mengumpul dana bagi membantu ahli komuniti kedutaan kami sendiri yang rumah dan keluarga mereka terjejas akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBSM Malaysia, Hakim Hamzah, berkata sumbangan kerajaan AS itu amat membantu mereka memastikan bantuan berterusan kepada mangsa banjir.

“Ini termasuk makanan, air bersih, bekalan perubatan dan kit kebersihan kepada orang ramai di seluruh kawasan yang paling teruk terjejas di Malaysia,” katanya.

Ketua Delegasi Malaysia Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Alka Kapoorsharma, pula memaklumkan sumbangan itu penting untuk penyediaan bantuan segera dan sokongan jangka panjang bagi mangsa banjir.

BERITA BERKAIT
POPULAR