Kerajaan ambil langkah segera tangani kesesakan PPS: Rina

Kesesakan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditangani segera kerajaan, malah sebanyak 78 lagi pusat sudah dibuka bagi menampung kapasiti orang ramai yang terjejas akibat bencana itu.

Pembukaan PPS baharu itu menurut Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun akan menjadikan keseluruhan pusat yang dibuka dan berdaftar seluruh negara sebanyak 5,809 daripada 5,731 sebelum ini.

“Isu kesesakan di PPS sudah diatasi. Banjir di sesetengah kawasan penempatan tidak dijangka dan ada kawasan yang tidak pernah kena banjir sebelum ini, jadi tidak adil jika mangsa pergi ke PPS tetapi tidak dibenarkan masuk.

“Keutamaan kita adalah keselamatan mereka jadi kita benarkan mereka masuk dan disediakan makanan. Mereka dibenarkan berteduh di situ sehingga PPS lain di sekitar kawasan itu disediakan, iaitu yang sebelum ini tidak didaftarkan,” katanya menurut laporan BH.

Rina terdahulu melawat PPS Wisma Belia Indera Mahkota, hari ini.

Beliau mengakui kesesakan di PPS menyebabkan ketidakselesaan tetapi ia adalah langkah sementara bagi memastikan mangsa terbabit menerima bantuan dan makanan secukupnya berbanding tinggal di kediaman yang dinaiki air.

Sementara itu, Rina berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan boleh menghulurkan bantuan terus kepada mangsa banjir.

“Kita tidak halang mereka berbuat demikian kerana ia mengurangkan karenah birokrasi,” katanya.

“Bagaimanapun, jika NGO menyumbang menerusi PPS atau pusat pengumpulan, pengurusan boleh merekodkan sumbangan dan kenal pasti keperluan mangsa banjir dan mengedarkannya mengikut keperluan mereka,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR