Kerajaan akan sediakan pakej bantuan kepada rakyat semasa PKP penuh

Satu pakej bantuan kepada rakyat akan diumumkan Putrajaya bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang diumumkan seluruh negara hari ini bagi membantu kumpulan yang terkesan dengan pelaksanaan tersebut yang diumumkan hari ini.

Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkata perincian berhubung bentuk bantuan tersebut akan diperincikan dalam masa terdekat bagi meringankan beban rakyat sepanjang tempoh ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun 2021 hingga 13 Jun 2021 ini.

“Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

Langkah sama sebelum ini diumumkan kerajaan semasa PKP 1.0 apabila beberapa pakej bantuan penting diumumkan kepada rakyat termasuk moratorium automatik disamping pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebanyak empat pakej ransangan ekonomi bernilai RM305 bilion diperkenalkan kerajaan sejak pelaksanaan PKP 1.0.

Ia masing-masing melibatkan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melibatkan peruntukan RM250 bilion dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) sebanyak RM10 bilion.

Selain itu, turut diumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion.

Awal tahun ini, inisiatif kelima iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion pula diumumkan.

Dalam pada itu, kerajaan menggesa orang ramai supaya untuk terus berdisiplin dan patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk melandaikan jangkitan kes Covid-19.

“Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR