
Bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 11 Ogos bagi keputusan permohonan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan untuk Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) yang dihadapinya.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman selaku pemohon, lapor Bernama.
Terdahulu, Muhammad Rafique berhujah bahawa mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk membatalkan atau mengetepikan pertuduhan yang dikenakan terhadap Rozman iaitu pertuduhan itu adalah berniat jahat dan bersifat penindasan selain penyalahgunaan proses mahkamah serta berunsur politik.
“Pertuduhan yang dikenakan terhadap Rozman di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah tidak berasas dari segi fakta mahupun perundangan, hal ini kerana, anak guam saya tidak pernah sama sekali mempengaruhi apa-apa keputusan Lembaga Pengarah LLPM, maka tidak wujud elemen pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yakni tiada sebarang keputusan dibuat oleh pemohon berkenaan syarikat tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Feisal berhujah pertuduhan yang dikenakan terhadap pemohon adalah terang dan jelas malah pihak pendakwaan akan membuktikan semasa perbicaraan yang akan bermula pada 11 Ogos ini.
“Tiada bukti menunjukkan pertuduhan yang dikenakan terhadap permohon adalah berniat jahat mahupun berunsur politik tetapi ia berdasarkan bukti,” katanya sambil menambah, mahkamah masih belum mendengar keterangan daripada mana-mana saksi.
Pada 4 April lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob yang menolak permohonan Rozman untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, telah menetapkan 11 dan 12 Ogos untuk perbicaraan kes berkenaan.
Berikutan itu, pada 11 Mei lepas, Rozman sekali lagi memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi.
Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.