Keputusan MT UMNO tak gugat kedudukan PM dan Jemaah Menteri, kata AG

Pejabat Peguam Negara (AG) menjelaskan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengugat kedudukan Perdana Menteri (PM) dan Jemaah Menteri.

Dalam satu kenyataan, pejabat AG berkata kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Katanya, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh mereka sendiri, bukan kenyataan media parti atau pemimpin politik.

“Oleh itu, dari segi undang-undang, YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan,” katanya.

Semalam, Zahid selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) sekali lagi mengumumkan keputusan yang seakan sama semasa ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 tetapi kali ini dengan lebih keras menuntut supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.

BERITA BERKAIT
POPULAR