Keputusan kes rasuah solar Rosmah pada Khamis

August 29, 2022 · Isu semasa

Selepas suami tercinta, Datuk Seri Najib Razak dimasukkan ke penjara pada minggu lalu, kini isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor juga akan berdepan keputusan kes rasuah solar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis ini.

Mahkamah dijangka membuat keputusan sama ada Rosmah disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah melibatkan tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan membuat penghakimannya selepas hampir empat tahun perbicaraan berlangsung.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rosmah membela diri, atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah, di pedalaman Sarawak.

“Kes kita sudah sampai ke penghujung jalan, jadi sudah tiba masanya untuk menamatkan perjalanan dan menetapkan tarikh untuk keputusan,” demikian kata-kata Hakim Mohamed Zaini ketika menetapkan tarikh keputusan sewaktu prosiding pada 12 Mei lalu.

Rosmah, 70, bakal menjadi tumpuan negara kerana apa sahaja keputusan dan alasan penghakiman yang diumumkan oleh hakim berkenaan akan membawa impak yang besar terhadap beliau selaku isteri bekas Perdana Menteri.

Bagaimanapun, sebelum keputusan diumumkan, polis menerima aduan daripada Pegawai Undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Ketua Unit Penyelidikan) Jumaat lalu berhubung insiden pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan tersebut yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Siasatan itu merujuk kepada laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.

Media melaporkan, susulan itu siasatan dibuka di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 ( kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil dua saksi memberi keterangan iaitu Rosmah dan bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 72.

Pada 18 Februari 2021, Rosmah diperintah membela diri atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Keterangan bela diri Rosmah didengar pada 5 Oktober 2021. Bekas Perdana Menteri yang sebelum itu tersenarai sebagai saksi pembelaan, bagaimanapun tidak dipanggil memberi keterangan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman melibatkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Jangan jadi ‘orang suruhan’ untuk kepentingan pihak tertentu, kata MB Kedah
January 8, 2024· Berita
Popular
Ceroboh ruang udara: Malaysia kemuka bantahan, panggil Duta China
June 1, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
[KEMAS KINI] Najib pecat peguam cara firma guaman Zaid Ibrahim
August 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Sekarang siapa jadi kerajaan, Muhyiddin kritik isu kejatuhan ringgit
February 24, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok