
Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Ipoh.
Keputusan kontroversi kerajaan Perak untuk menjual Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Ipoh akan dikaji semula, kata Menteri Besarnya Datuk Saarani Mohamad.
Saarani berkata keputusan untuk menjual tapak bersejarah itu secara tender terbuka bagi laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur akan dipertimbangkan semula dan akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri pada Rabu ini.
“Saya akan bawa balik perkara ini dalam mesyuarat EXCO pada Rabu untuk kita lihat kembali walaupun saya rasa itu adalah keputusan EXCO yang dibuat tahun lalu.
“Tetapi kita akan tengok semula selepas ada beberapa bantahan serta pandangan termasuk melalui laporan akhbar yang memaklumkan ada beberapa lagi kawasan bersejarah yang perlu dipelihara.
“Saya sudah maklumkan kepada Datuk Nolee (Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi- EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri) dan akan bincang semula perkara ini dalam mesyuarat nanti,” katanya.
Beliau ditemui semasa meninjau lokasi insiden kegagalan cerun di Seksyen 43.9 Laluan Persekutuan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Hadir sama, EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar yang dibuka untuk jualan secara tender terbuka mengejutkan pelbagai pihak kerana ia dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara.
Istana itu bersama kawasan seluas kira-kira dua hektar ditender untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.