Keputusan gantung VTL Malaysia-Singapura bagi bendung Omicron: MB

Keputusan kedua-dua kerajaan menggantung sementara penjualan tiket untuk Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat dan udara sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan varian baru Covid-19, Omicron, yang kini meningkat di Singapura.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata bagaimanapun diharap penggantungan itu akan ditarik balik sekiranya keadaan kembali pulih seperti biasa dan terdapat penurunan kes varian Omicron di republik berkenaan, lapor Bernama.

“Kita mengharapkan dalam minggu kedua Januari, sekiranya keadaan kembali pulih seperti biasa atau nampak penurunan kes, VTL ini dapat dibuka semula.

“Apa yang penting ketika ini adalah VTL tersebut tidak ditutup kerana itu komitmen kedua-dua negara, yang sekali gus memberi keyakinan kepada Johor untuk menggerakkan semua sektor termasuk pelancongan bagi memastikan ia dapat berjalan seperti biasa,” katanya hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Pada Rabu (22 Dis) lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan penjualan tiket darat serta penerbangan VTL digantung sementara bermula 23 Dis hingga 20 Jan tahun depan, dan akan dibuka semula selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi semasa Covid-19 kedua-dua negara.

Khairy berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura mengenai satu kluster tempatan Covid-19 termasuk kemungkinan varian Omicron.

Sementara itu, Hasni ketika diminta mengulas mengenai persediaan banjir berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM27 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan seperti sistem perparitan dan RM32 juta bagi penyelenggaraan.

Beliau berkata menerusi peruntukan itu, penyelenggaraan bagi jalan-jalan atau kawasan hotspot banjir dapat dilakukan sewajarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR