Keperluan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak, remaja

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah mengesahkan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 18 tahun ke atas kini sudah boleh mendaftar bagi menerima suntikan vaksin.

Pendaftaran itu telah dibuka dan ibu bapa boleh segera mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini, MySejahtera hanya membenarkan keluarga mendaftarkan tanggungan mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja.

Pada masa sama, pengumuman itu dilaksanakan selepas kelulusan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Amerika Syarikat.

Mengikut ujian klinikal yang dijalankan oleh CDC (Centers for Disease Control and Prevention) Amerika Syarikat, vaksin Covid-19 adalah selamat dan juga berkesan untuk melindungi remaja bermula 12 tahun ke atas daripada jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat telah meluluskan pemberian vaksin jenis Pfizer untuk dua dos kepada remaja berumur 12 ke atas.

Menurut Pakar Pediatrik Hospital Pantai Hospital Cheras, Dr. Yeoh Seen Hu,  ramai ibu bapa risau tentang kesan sampingan jika anak-anak mereka mengambil vaksin  Covid-19.

Beliau berkata, kesan sampingan ringan suntikan hampir sama dengan golongan dewasa iaitu gejala seperti sakit, merah atau bengkak di tempat suntikan.

“Tanda -tanda lain seperti demam gigil, letih, loya mungkin berlaku dan selalunya akan sembuh dalam beberapa hari.

“Namun,  kesan sampingan yang serius seperti  keradangan jantung( myocarditis, pericarditis) boleh berlaku terutamanya pada kumpulan bawah 30 tahun dan kebanyakan pesakit sembuh tanpa komplikasi jarang berlaku. Jumlah 780 kes telah dilaporkan daripada jumlah 328 juta dos vaksin yang telah disuntik. Perbincangan dan kajian lanjut masih dalam proses sementara ini,” katanya.

Justeru, Dr. Seen Hu menyarankan sebelum anak-anak mendapatkan vaksin, adalah penting untuk ibu bapa menerangkan kepada anak-anak  keperluan dan kepentingan vaksin untuk melindungi mereka daripada jangkitan yang bahaya ini.

“Ibu bapa perlu bersikap  jujur memberitahu anak-anak mereka mengenai suntikan. Menenangkan mereka supaya tidak terlalu risau atau takut mengenai kesakitan suntikan jarum. Sokongan dan galakan adalah sangat penting dan jangan menggunakan cara mengugut.

“Sebelum suntikan, pastikan pegawai vaksin diberitahu sekiranya ada sejarah alergi kepada ubat atau suntikan sebelum ini, bawa bersama senarai ubat yang sedang diambil sekiranya mempunyai  penyakit tertentu . Sebaik-baiknya dapatkan pendapat atau surat sokongan daripada doktor yang sedang merawati sekiranya tidak pasti,” jelasnya.

Tambah beliau, penularan virus Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Sejak Januari 2020, sebanyak 82,341 kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah. Sejumlah 811 kluster institut pendidikan telah dilaporkan dari Januari 2021 hingga Mac 2021.  Ini menunjukkan bukan sahaja kumpulan dewasa, kepentingan golongan kanak- kanak dilindungi daripada Covid-19 dengan cara vaksin tidak boleh diabaikan.

“Ada pendapat yang menyatakan vaksin untuk remaja tidak diperlukan memandangkan kebanyakan pesakit muda  sembuh tanpa komplikasi yang serius. Tidak dinafikan bahawa kadar mortaliti lebih rendah daripada dewasa, yang lebih merisaukan ialah sekiranya mereka membawa kuman ini balik ke rumah dan merebak kepada keluarga seperti orang tua yang lemah di rumah.

“Tidak mungkin untuk mencapai imuniti kelompok tanpa melibatkan kumpulan umur ini. Untuk varian yang agresif seperti varian Delta, didapati gejala virus ini lebih bahaya dan keperluan bantuan nafas telah meningkat untuk kalangan kanak-kanak,” jelasnya.

Pun begitu,  disebabkan perlindungan vaksin bukan seratus peratus, maka langkah pencegahan masih sangat mustahak sama ada telah divaksin atau tidak. Semua pihak terutamanya para pentadbir, para guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah, serta para pelajar perlu mematuhi  prosedur operasi standard (SOP).

BERITA BERKAIT
POPULAR