
Anggota bomba menjalankan gerakan menyelamat mangsa yang terperangkap akibat kepala air di Telaga Tujuh, Langkawi, pagi tadi (16 Oktober 2022).
Seramai 44 pengunjung air terjun Telaga Tujuh di Langkawi dilaporkan terperangkap akibat kepala air pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, pengunjung terbabit ke kawasan riadah itu untuk mandi di air terjun, sebelum cuaca hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata pihaknya mendapat maklumat orang awam terperangkap di kawasan terbabit pada jam 10.35 pagi.
“Setakat ini, kita dimaklumkan seramai 44 mangsa terperangkap di kawasan air terjun Telaga Tujuh.
“Bomba dan polis berada di lokasi bagi memberi bantuan. Operasi menyelamatkan semua mangsa masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, menurut BH.
Difahamkan, pasukan penyelamat berhadapan kesukaran untuk memasuki tempat kejadian kerana kepala air dan limpahan sungai.