
Ketua Pemuda PAS dan Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung pelantikan Peguam Negara memberi gambaran seolah-olah institusi pendakwaan negara dipengaruhi dan dikawal secara jelas oleh seorang Perdana Menteri.
Ketua Pemuda PAS dan Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari berkata ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan hari ini, seruan Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Perdana Menteri itu kelihatan seperti kembali ke belakang.
“Saya memohon untuk berbeza dengan Ahli Parlimen Penggerang yang saya hormati dalam isu lantikan Peguam Negara.
“Menyatakan bahawa ‘setiap Perdana Menteri akan lantik AG orang dia’ adalah satu kenyataan yang membayangkan instituti pendakwaan dipengaruhi dan dikawal dengan jelas oleh Perdana Menteri.
“Langkah yang paling baik ialah memisahkan fungsi Peguam Negara dengan tugas pendakwaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Katanya, perkara itu sebenarnya sudah dimulakan perancangan oleh kerajaan ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
“Pada ketika kenyataan Takiyuddin dibuat tahun lalu, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, di mana beliau menuntut supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara.
“Hari ini, tidak pasti perancangan itu sudah sampai ke mana, namun ia perlu dihidupkan dan dijayakan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dengan adil,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Sabtu lalu, Azalina pada Taklimat Khas Presiden UMNO membidas bosnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung pelantikan Peguam Negara.
Azalina berkata di bahagian lain dunia, seorang Perdana akan melantik “orangnya sendiri” untuk menjadi AG.
“Di mana-mana negara, sesiapa yang menjadi Perdana Menteri akan memilih orangnya sendiri untuk menjadi AG.
“Saya sudah menjadi ketua bahagian UMNO lebih 20 tahun. Sudah tentu setiausaha bahagian adalah orang saya sendiri, begitu juga ketua penerangan kerana saya melantik mereka,” kata Azalina.