
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan kenapa SPRM tidak menyiasat dakwaan penyelewengan pinjaman Bank Pembangunan Malaysia Berhad ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata maklumat dalam tuntutan mahkamah Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) terhadap bekas pegawainya sepatutnya mencetuskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa tahun lalu.
Beliau juga mempersoalkan mengapa bank itu perlu menyaman bagi mendapatkan semula anggaran RM1.5 bilion pinjaman meragukan yang dikeluarkan kepada firma yang didakwanya ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dengan mengatakan terdapat lebihan bukti untuk SPRM bertindak.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau telah membangkitkan dakwaan mengenai pinjaman yang meragukan itu sejak 2013 dan SPRM sepatutnya memulakan siasatan daripada menunggu laporan rasmi.
“Saya mengikuti dengan dekat perkembangan usaha BPMB dalam usahanya untuk mendapatkan kembali sekitar RM1.5 bilion dana awam yang telah diselewengkan oleh peminjam-peminjam.
“Ia melibatkan pinjaman kepada syarikat yang mempunyai “kabel” besar dan diluluskan oleh pengurusan BPMB semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
“Jumlah pinjaman RM1 bilion yang telah diselewengkan (termasuk dipindahkan ke akaun-akaun luar negara dalam kes-kes tertentu) adalah skandal terbesar dari sebuah bank pembangunan milik kerajaan dalam sejarah negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata media perniagaan membuat liputan meluas mengenai peminjam-peminjam berkabel besar ini dan usaha BPMB untuk mendapatkan kembali wang rakyat.
Laporan itu katanya, menyebut urusniaga pinjaman dan ekuiti yang diluluskan BPMB semasa Najib menjadi Perdana Menteri, seperti berikut:
1) Pinjaman RM400 juta yang diluluskan dalam tahun 2012 kepada Aries Telecoms (M) Bhd
2) Ambil alih Syarikat Borcos Shipping Sdn Bhd melibatkan dana berjumlah RM337 juta. Syarikat itu jatuh muflis hujung tahun 2017
3) Pinjaman berjumlah RM450 juta kepada Asian Broadcasting Network (ABN) untuk melancarkan stesen TV berbayar. ABN ialah syarikat milik Kenneth Eswaran, seorang yang diketahui sangat rapat dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor
4) Pinjaman berjumlah RM305 juta kepada Nautical Resort Sdn Bhd dan Garuda Suci Sdn Bhd, dua syarikat milik Tan Sri Peter Sondakh yang juga sahabat baik Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor
“Kesemua dana rakyat berjumlah RM1.5 bilion yang lesap ini diluluskan semasa Najib merupakan Menteri Kewangan dan BPMB melaporkan terus kepadanya.
“Saya telah membangkitkan pinjaman yang disyaki diselewengkan ini sepanjang menjadi Ahli Parlimen dari 2013 ke 2018. Isu ini saya bawa berkali-kali ke Parlimen dan dilaporkan secara meluas,” katanya.
8 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan BPMB memperoleh injunksi mareva terhadap 23 daripada 27 defendan sebagai sebahagian daripada saman sivil berhubung pinjaman RM400 juta yang diberikan kepada Aries Telecoms (M) Bhd, yang didakwanya dilakukan secara haram.
The Edge Markets melaporkan Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad memberikan injunksi untuk membekukan aset 23 defendan, antaranya bekas presiden dan pengarah urusan kumpulan bank itu Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim.
Defendan lain yang dikenakan injunksi termasuk pengarah Aries, Shailen Popatlal; bekas pengarah Aries Roslina Ibrahim; Pengarah Paneagle Sdn Bhd Abdul Wahid Abdul Ghani; Pengarah Open Fiber Sdn Bhd Mohd Radzi Mohamed; dan Orient Telecoms Sdn Bhd dan pengarahnya Mustafa Ali Zaminali Sayed, Muhammad Shazhakim Shazarul Hisham dan Shaza Arina Shazarul Hisham.
Dua yang terakhir dilaporkan sebagai anak lelaki dan perempuan Roslina.