Kenapa kes Covid-19 masih tinggi walaupun vaksinasi meningkat?

Ramai mula sangsi kenapa walaupun sudah ramai yang mengambil suntikan vaksin tapi kes positif masih mencanak naik? Ada yang persoalkan keberkesanan vaksin yang diambil? Ada juga yang kata vaksin ini tidak memberi apa-apa manfaat atau tidak berguna?

Jika sebelum ini kenaikan kes Covid-19 menyebabkan pergolakan politik sehingga ramai yang mahukan pemimpin utama meletak jawatan. Walaupun ketika itu program vaksinasi baru sahaja bermula tetapi situasi dan keputusan politik dikatakan punca utama. Kini, sekali lagi kes Covid-19 naik mencanak.

Benarkah kes meningkat pada hari ini berlaku kerana politik atau sebenarnya kenaikan kes tidak ada kaitan dengan situasi atau keputusan politik semasa?

Menurut Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia Cheras, Kuala Lumpur, Dr.Malar Santhi Santherasegapan,  kebanyakan tanggapan orang ramai ternyata tersasar.

“Kebanyakan masyarakat tidak faham bagaimana wabak ini merebak dan bagaimana vaksin tersebut bekerja? Anda harus faham, kes positif yang dilaporkan hari ini bukanlah disebabkan aktiviti hari ini. Ia adalah kesan daripada aktiviti 10 ke 14 hari sebelumnya.

“Begitu juga perihal suntikan vaksin. Suntik hari ini bukan bermakna akan terus kebal hari ini juga. Tak ada orang yang kahwin hari ini, akan dapat anak terus hari ini. Nak melahirkan anak pun perlukan sembilan bulan untuk hamil. Perlindungan lengkap dalam badan akan terbina selepas dua ke tiga minggu selepas suntikan dos ke dua. Peranan dos ke dua itu penting untuk untuk membina imuniti,” ujarnya.

Tambah Dr. Malar, lain vaksin, lain masa yang diperlukan untuk membina imuniti. Tapi, secara dasarnya, sekitar dua ke tiga minggu untuk badan betul-betul mampu melawan jangkitan.

“Memang ada antara penerima vaksin yang masih dijangkiti tetapi didapati hanya jangkitan ringan tahap satu atau dua. Bagaimana pula yang turut dijangkiti tahap empat dan lima? Kebanyakan mereka ini adalah penerima vaksin dos satu atau yang baru saja menerima dos dua,” ujarnya.

Menurut Dr. Malar,  adalah sangat penting untuk kita mencapai herd immunity lebih 50 peratus jika mahu menjalani kehidupan normal walau dengan kehadiran Covid-19.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Keluarga Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Suhazeli Abdullah, terdapat faktor yang menyebabkan situasi ini terus berlaku.

“Bentuk (nature) pandemik telah mula berubah. Sebelum ini kita dapat laporan bahawa kobelehjangkitan (R0) kepada varian asal Covid-19 adalah antara dua hingga tiga (purata seluruh dunia). Namun apabila varian baharu seperti Varian Delta, kebolehjangkitan meningkat 15  hingga 20 kali ganda. Pun begitu, perlindungan dari vaksin tetap wujud walau tak sebanyak perlindungan terhadap varian asal.

“Vaksin itu sendiri bukan ubat ajaib. Bukan maksum dan bukannya 100 peratus. Namun ‘some form of protection is there’ seperti mengurangkan kemasukan ke wad kritikal dan kematian.

“Kita lihat sendiri perbandingan dalam kalangan yang telah lengkap vaksin vs belum atau tidak vaksin, kemasukan ke wad kritikal dan kematian adalah jauh berbeza,” katanya.

Tambah Dr. Suhazeli, tidak divaksin berisiko dijangkiti dan kemungkinan kejadian pandemik dalam kalangan mereka meningkat kerana liputan dalam komuniti rendah selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dipandang remeh segelintir masyarakat.

“Pergerakan manusia semakin longgar akibat desakan ekonomi dan golongan yang degil. Inilah sebenarnya punca asal yang menyebabkan perebakan Covid-19 sukar dikawal.

“Walaupun kerajaan telah melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 1.0, 2.0 dan 3.0 serta Darurat Kesihatan, tetapi mentaliti masyarakat yang tak nak patuh PKP sudah tidak sensitif. Kita tetap keluar dan bergaul dengan bebas.

“Kita masih belum menang dan semoga bersabar dalam perjuangan keluar dari pandemik ini. Kita harus belajar hidup bersama Covid-19,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR