Kenapa Anwar marah selepas pendedahan syarikat ‘scam’ mahu derma vaksin?

Pendedahan semalam oleh Khairy Jamaluddin berhubung sebuah syarikat “scam” atau tidak wujud yang kononnya mahu menderma vaksin kepada Kerajaan Pulau Pinang membuka pekung satu penipuan besar yang cuba dirancang tetapi mujur ia berjaya disekat awal.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tersebut membuat beberapa pendedahan, antaranya syarikat yang membuat tawaran berkenaan Xintai Development Enteprise Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud malah surat yang dihantar juga mempunyai kepala surat seperti kebiasaan sesuatu permohonan oleh syarikat dibuat.

Lebih menghairankan, siapakah individu bernama Yong Chee Kong yang menulis surat beralamat di Kota Kinabalu, Sabah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow?

Semalam, Ketua Menteri dengan mudah menunding jari kepada syarikat swasta tersebut supaya membuat penjelasan selepas pendedahan oleh Khairy, ia seolah-olah langkah untuk cuba melepaskan diri daripada mengambil tanggungjawab berhubung isu penipuan tersebut.

Sepatutnya Kon Yeow yang membuat penjelasan, malah surat tersebut dihantar terus kepada Ketua Menteri yang beralamat di Pulau Pinang atau adakah Kon Yeow sendiri tidak menyelidik terlebih dahulu berhubung syarikat tersebut dan membuat keputusan membuta-tuli?

Bagaimanapun, nama sebuah pertubuhan muncul juga dalam pendedahan oleh Khairy iaitu Yayasan Sekhar, sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan seorang ahli peniagaan tempatan ternama yang menuduh kerajaan menolak permohonan mereka untuk memberikan 200,000 dos vaksin secara percuma.

Khairy menjelaskan tiada urusan pembelian direkodkan daripada yayasan tersebut, tapi siapa sebenarnya dibelakang yayasan ini?

Individu dibelakang yayasan ini adalah seorang rakan karib kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua mereka sering bergambar mesra selain juga pemilik kepada sebuah portal berita, The Vibes.

Jadi, tidak hairan lah, Anwar semalam semasa sidang media yang disiarkan dalam Facebook Live membidas kerajaan berhubung isu derma vaksin tersebut dan menggesa supaya dihentikan monopoli Pharmaniaga dalam urusan pembekalan vaksin kepada negara.

Anwar beria-ia menggesa supaya Kerajaan Pusat memberikan kelulusan segera kepada syarikat yang mahu menderma vaksin tersebut kepada Pulau Pinang dan mendakwa sekatan terhadap usaha menderma tersebut bermotifkan politik.

“Kemudian, sekarang Pulau Pinang, dua juta nak disediakan, kemudiaan persoal teknikal, ini peraturan, ada syarikat nak dipelihara, kepentingan syarikat, sudah ada perjanjian yang lama.

“Buat apa darurat, kita adakan darurat kononnya nak membantu menyelesaikan masalah Covid tapi kita tak boleh pinda atau arah syarikat supaya berikan sedikit kelonggaran… semua pembelian harus melalui Pharmaniaga, saya tidak ada masalah, Pharmaniaga sudah bawa jutaan Pfitzer, Sinovac, AstraZaneca, semua melalui mereka tapi dalam keadaan krisis, bagi lah ruang orang nak beli,” kata Anwar semasa sesi siaran langsung dalam laman Facebooknya.

Anwar gagal memahami berhubung isu pokok di sini, sebelum sebarang kelulusan diberikan kepada syarikat yang mahu menderma vaksin, pihak berkuasa perlu melakukan pemeriksaan berhubung sesuatu permohonan dan tidak boleh memberi kelulusan membuta-tuli.

Isu pemberian vaksin ini adalah penting kerana ia melibatkan nyawa rakyat. Bagaimana sekiranya vaksin tersebut yang ingin diderma tidak asli dan ia pasti membahayakan nyawa orang ramai.

Anwar harus peka dan lebih tahu berhubung isu ini dan keputusan tidak boleh dibuat membuta-tuli, setiap perkara pasti ada prosesnya.

Namun, mengapa Anwar beria-ia mahu proses derma vaksin itu dipercepatkan? Apakah hubungan Anwar dengan Yayasan Sekhar dan juga ahli perniagaan tersebut?

BERITA BERKAIT
POPULAR