
Inflasi negara terus mencatat peningkatan.
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) berpendapat kenaikan harga barang dan makanan sekarang ini mungkin menjadi suatu norma baharu yang perlu diterima kerajaan dan rakyat.
Presiden CASSA Datuk Dr Jacob George berkata ini kerana kenaikan kos operasi sesuatu barangan itu menyebabkan kenaikan harga.
Malah, menurutnya harga barangan keperluan ketika ini tidak menunjukkan tanda-tanda untuk turun meskipun kerajaan sudah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menanganinya.
Sehubungan itu, katanya, kenaikan ketika ini perlu diterima semua pihak, terutama kerajaan tanpa menyalahkan mana-mana pihak yang terlibat dalam rantaian makanan termasuk kartel atau orang tengah.
“Keadaan yang berlaku di negara ini sudah tak nampak cahaya untuk penurunan harga sebab kita tak mahu akui harga yang betul dan munasabah untuk semua golongan.
“Sebenarnya apa yang diperlukan adalah satu harga yang munasabah kepada pengguna dan pengeluar. Contohnya, bolehkah harga nasi lemak dijual macam harga enam tahun lalu? Jadi kita kena buat keadilan kepada semua pihak.
“Kita sepatutnya kena bincang dengan pengeluar, bagaimana dari segi kos operasi mereka supaya dapat elakkan pengguna dan pengeluar jadi mangsa akibat penyelesaian yang diambil,” katanya menurut Utusan.
Dr Jacob berkata, satu langkah drastik yang lebih positif perlu dilakukan dengan mengambil kira kenaikan kos operasi yang sedang berlaku itu.
“Bagi saya pasukan jihad itu sudah bagus, tetapi keanggotaannya perlu terdiri daripada mereka yang berpengalaman, berpengetahuan dan dapat meyakinkan masyarakat untuk mencari jalan penyelesaian.
“Kos operasi sudah naik, tetapi jika ia dianggotai orang politik, adakah mereka mempunyai political will untuk ambil tindakan (harga yang munasabah),” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr Lee Nan Sang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bantuan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu terutamanya kepada golongan B40.
Katanya, ini kerana perkara yang berlaku ketika ini merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia.
Namun, katanya, penguatkuasaan dan pemantauan perlu sentiasa dipergiatkan agar barangan kawalan itu tidak disalah guna serta tidak sampai kepada golongan sasaran.
“Aspek penguatkuasaan dengan pemantauan perlu lebih kerap untuk memastikan peruntukan subsidi kerajaan betul-betul sampai kepada tangan pengguna terutamanya golongan B40,” katanya.