Kena mati dulu baru boleh jumpa bapa

Siswazah, Aida Najwa bersama bapanya, Allahyarham Nasir Nordin. - Gambar FB

Kisah sedih seorang siswazah, Aida Najwa yang tidak sempat berbakti buat kali terakhir kepada orang tuanya kerana tidak dibenar merentas negeri, menjadi tular di media sosial.

Apa lagi dalam catatan Facebooknya pada awal pagi Khamis, dia kecewa dengan kebiadaban anggota polis ketika dia memohon permit rentas negeri.

“Tapi yang aku dapat hanyalah perli manusia yang tak memahami,” dakwanya yang tidak dibenar merentas negeri kerana bukti tidak mencukupi.

Ianya bermula apabila dia yang tinggal di Kuala Lumpur menerima panggilan telefon daripada ayahnya di Nilai yang meminta dihantarkan ke hospital untuk membetulkan tapak dialisis.

“Hari Sabtu Abah call. Abah kata ‘Along, tolong hantar abah pergi hospital. Abah kena betulkan tapak dialisis. Jarum tu dah tercabut. Pusat dialisis ni tak boleh buat dialisis.

“Aku pun kata ok. Sebab aku ada kat KL, so aku kena la pergi mohon interstate travel dari polis. Aku sampai je pondok polis, polis tanya ‘Cik nak pergi mana?’,” kata Aida yang membawa bersama bukti berupa surat dialisis, salinan kad pengenalan dan kad orang kelainan upaya bapanya kepada polis pada 17 April lalu.

Aida bagaimanapun tidak dapat menunjukkan surat rujukan bapanya untuk ke hospital.

“Ok lepas tu polis tanya ‘selalu siapa hantar dan amik?’ Aku cakap makcik saya. Then polis cakap ‘habis tu makcik mana? Dah mati?’ Allah je tahu rasa hati macam mana. Kau dah la taknak bagi orang rentas negeri walaupun bagi aku, tu satu kecemasan.

“Pastu soalan pun nak tanya dengan biadab. Aku cuba sabar sebab aku kat balai polis. Kang apa apa, susah. Aku pun cakap ‘makcik saya ada kecemasan jadi dia balik kampung. Jadi dia minta saya tolong minggu ni’.

“Aku tolong Abah pun bukan selalu. Memang selalu makcik yang hantar dan ambil Abah dari pusat dialisis tu. Sekali sekala bila aku free and nak ringankan beban dia, polis tak lepaskan. Itu Abah kandung aku. Bukan orang lain. Memang patutnya jadi tanggungjawab aku adik beradik untuk jaga Abah. Tapi yang aku dapat hanyalah perli manusia yang tak memahami,” tulis Aida lagi.

Katanya, selepas berbincang dan merayu dia bagaimanapun tidak dibenarkan untuk merentas negeri atas alasan bukti tidak cukup.

Aida berkata, seminggu kemudian dia akhirnya dapat juga berjumpa dengan bapanya, itupun dalam keadaan roh sudah terpisah dari jasad.

“Dapatlah aku jumpa Abah yang dah kaku. Yang roh dah terpisah dari jasad. Yang tak mampu bercakap dan bergelak ketawa lagi. Yang dibalut dengan kain serba putih dari hujung kaki hingga ke hujung kepala. Memang aku tahu jodoh ajal semua Allah dah tentukan.

“Cuma aku sedih sebab tak dapat nak ada dengan Abah di saat saat akhir dia. It would be different if I have met him last week,” katanya yang berharap ada pertimbangan tertentu diberikan pihak berkuasa bagi kes-kes sepertinya.