Kemunculan varian baharu beri kesan kepada pemulihan ekonomi

Langkah pemulihan ekonomi negara akan menerima kesan akibat kemunculan varian baharu Covid-19 yang lebih cepat merebak, ia mengakibatkan tempias kepada momentum pemulihan yang dirangka kerajaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada masa ini, Malaysia masih bergelut dalam membendung penularan itu berikutan kemunculan faktor varian Covid-19 yang lebih mudah merebak dan memburukkan lagi krisis kesihatan.

“Bagi mengatasi keadaan itu, kerajaan telah melaksanakan tindakan bersepadu bagi mempercepat program vaksinasi selain memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam satu kenyataan media bagi Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia Siri 7/2021 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata walaupun petunjuk ekonomi utama bagi tempoh lima bulan pertama 2021 menunjukkan prestasi memberangsangkan, Indeks Pelopor (IP) yang merupakan petunjuk hala tuju ekonomi dalam beberapa bulan ke hadapan, mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 6.9 peratus pada Mei 2021 berbanding 15.7 peratus pada April 2021.

Jelas beliau, seiring dengan asas yang rendah pada Mei 2020, perdagangan Malaysia melonjak sebanyak 48.7 peratus bagi tahun ke tahun dan meneruskan pertumbuhan dua digit selama empat bulan berturut-turut.

Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Mei 2021 juga meneruskan momentum pertumbuhan dua digit dan mencatat kenaikan 26.0 peratus pada bulan sama, katanya.

Menurutnya, dari sudut harga, kadar inflasi Malaysia pada Mei 2021 telah melepasi 4.0 peratus untuk kali kedua berturut-turut tahun ini berikutan kenaikan berterusan Indeks Harga Makanan global yang melonjakkan harga makanan di negara ini.

Bagi prestasi pasaran tenaga buruh, jumlah tenaga kerja telah meningkat sebanyak 384,900 orang pada Mei 2021 yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16.10 juta orang berbanding 15.71 juta orang pada Mei, 2020.

“Kadar penyertaan tenaga kerja meningkat sebanyak 0.5 mata peratus tahun ke tahun kepada 68.5 peratus manakala kadar pengangguran susut kepada 4.5 peratus daripada 5.3 peratus pada Mei 2020,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR