
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengambil tindakan segera berhubung insiden pelanggaran data yang membabitkan penyedia perkhidmatan pembayaran dalam talian, iPay88 (M) Sdn Bhd, kata Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (PDPD) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang meneliti perkara itu dan bertemu dengan iPay88 pada Jumaat (12 Ogos).
“Kes itu masih disiasat lebih lanjut oleh vendor iPay88, SISA dari Singapura, yang mengenal pasti ancaman Cobalt Strike digunakan.
“Pelayan yang terjejas telah dibawa ke luar talian untuk siasatan lanjut. Siasatan SISA masih diteruskan dan iPay88 akan memaklumkan semua keputusan kepada PDPD dan CSM,” katanya semalam.
Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pelanggaran data yang diumumkan penyedia gerbang pembayaran iPay88, terhad kepada sistem pembayaran kad syarikat itu dan tidak melibatkan kelemahan dalam sistem bank.
Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata siasatan forensik berhubung insiden itu masih diteruskan.
“Pelanggaran itu berpunca daripada dan terhad kepada sistem kad pembayaran iPay88 dan tidak melibatkan kelemahan dalam sistem bank,” kata BNM.
Kelmarin, iPay88 mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa mereka mengalami “insiden keselamatan siber” yang mungkin telah menjejaskan data kad pelanggan.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan pemprosesan pembayaran kepada pelbagai perniagaan, termasuk platform e-dagang Shopee, dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi.
Kad pembayaran daripada kebanyakan bank utama dan perkhidmatan e-wallet di negara ini diterima oleh gerbang iPay88, menjadikan insiden itu amat membimbangkan.
Susulan itu, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menegaskan dan mengesahkan pihak bank sentiasa memberi perhatian serius kepada keselamatan data pemegang kad.
Dua persatuan itu menjelaskan bank melakukan langkah balas keselamatan tambahan untuk melindungi pemegang kad daripada risiko yang berpotensi berlaku.