
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Kementerian Pendidikan akan menganalisis punca hampir 25,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menduduki peperiksaan itu.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata beberapa calon memilih untuk tidak mengambil peperiksaan itu walaupun ada campur tangan pentadbir sekolah.
Kebanyakannya, katanya, membabitkan calon persendirian.
“Bagi pelajar sekolah, beberapa guru dan pengetua telah pergi berjumpa calon dan ibu bapa mereka.
“Disebabkan mereka merupakan kumpulan pertama Kurikulum Standard Sekolah Menengah, calon digesa kembali ke sekolah dan bersedia menghadapi peperiksaan.
“Bagaimanapun, ada yang memilih untuk tidak menduduki peperiksaan atas sebab peribadi seperti masalah keluarga dan cabaran kewangan.
“Kami akan melihat data dengan lebih mendalam dan menilai sama ada terdapat trend yang meningkat sejak beberapa tahun ini. Kami akan memutuskan langkah yang sesuai untuk mengatasinya,” katanya di SMK Putrajaya Presint 18(1) hari ini.
Radzi berkata calon-calon ini boleh mengambil peperiksaan pada September bagi Matematik, Bahasa Melayu dan Sejarah di pusat peperiksaan terpilih.
Dilaporkan 407,907 pelajar telah mendaftar untuk peperiksaan SPM 2021. Daripada jumlah ini, 24,941 calon tidak menduduki peperiksaan.