Kemenangan pelumba negara dapat perhatian PM, ucap tahniah ‘Damok’

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pelumba negara, Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasa bangga dengan kemenangan Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Barcelona dan mengucapkan tahniah kepada pelumba muda negara itu.

Syarifuddin, 19, atau dikenali Damok melakar sejarah dengan aksi bergayanya menjuarai perlumbaan yang berlangsung di Sepanyol semalam dan ia mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara itu.

“Syabas Anak Muda. Tahniah Malaysia. Saya cukup berbangga dan gembira apabila dimaklumkan anak muda Malaysia, Syarifuddin berjaya menggegar Litar Catalunya apabila muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia semalam,” kata Muhyiddin dalam kenyataan di Facebooknya.

Muhyiddin berkata hanya melalui keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian sahaja yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.

Selain mengucapkan tahniah kepada Syarifuddin, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan sama kepada seluruh ahli pasukan atas aksi dan kejayaan itu yang membanggakan negara.

“Teruskan usaha untuk kejayaan yang lebih gemilang selepas ini,” katanya sambil menyertakan tanda pagar #MalaysiaPastiBoleh.

Syarifuddin, yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat meninggalkan dua peserta tuan rumah David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

POPULAR