Kematian turun kepada 30 kes

Kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (3 April 2022) turun kepada 30 kes berbanding 56 yang direkodkan pada Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Jumlah itu termasuk 11 kes pesakit disahkan dijangkiti Covid-19 meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan sebelum mangsa dibawa ke hospital atau ‘brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada 11 kes BID itu turut membabitkan kalangan 188,534 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah kerana positif Covid-19 pada tahap rendah atau tidak memerlukan rawatan intensif.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak Mac 2020 lalu sebanyak 35,099 kes, termasuk 7,408 kes BID.

Data laman sesawang CovidNOW menunjukkan dua negeri, Kedah dan Perak, masing-masing mencatat tujuh kematian semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 2,578 dan 1,852 kes.

Sehingga Sabtu, Kedah merekodkan 293,237 kumulatif positif, dengan 283,675 pesakit telah sembuh, dan 6,984 kes masih aktif, termasuk 6,706 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Selain itu, seramai 229 pesakit di Kedah dimasukkan ke hospital; 19 ditempatkan di PKRC; dan 30 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam 1,581,525 atau 72.1 peratus populasi di Kedah telah menerima dua dos vaksin Covid-19, 1,663,119 atau 75.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 727,969 atau 46.8 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Kelantan dan Selangor masing-masing mencatat tiga kematian, diikuti masing-masing dua di Pahang serta Pulau Pinang; dan masing-masing satu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, Terengganu serta Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perlis, Sabah, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi kematian akibat Covid-19 sejak awal 2020 lalu dengan mencatat 10,544 kes.

Sehingga kini negeri itu merekodkan 1,220,016 kumulatif positif, dengan 1,108,464 pesakit telah sembuh, dan 101,008 kes masih aktif, termasuk 99,980 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 845 pesakit di negeri itu dimasukkan ke hospital; 140 ditempatkan di PKRC; dan 43 dirawat di ICU, dengan 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 3 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR