Kematian turun kepada 16 kes

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di sembilan daripada 16 negeri dalam tempoh 24 jam semalam, turun kepada 16 kes berbanding 19 kes pada Khamis.

Statistik laman sesawang Covidnow kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan dua daripada kes kematian itu melibatkan ‘brought in death’ (BID).

Keseluruhannya sejak wabak Covid-19 melanda negara awal 2020 hingga semalam, jumlah kematian kini meningkat kepada 31,644, termasuk 6,384 kes BID.

Daripada sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatat kematian, Johor merekodkan empat kes, menjadikan kumulatif sebanyak 3,876.

Sehingga semalam, Johor merekodkan 247,439 kumulatif kes positif, dengan 237,682 pesakit dilaporkan telah sembuh, dan 5,881 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 4,951 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 455 ditempatkan di PKRC; 460 dimasukkan ke hospital; dan 15 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam juga, seramai 3,043,509 atau 80.5 peratus individu di Johor telah lengkap divaksinasi, 81.4 peratus atau 3,077,805 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 723,878 individu menerima dos penggalak.

Negeri lain yang merekodkan kes kematian akibat Covid-19 semalam ialah Sabah sebanyak tiga kes, diikuti masing-masing dua di Kedah dan Selangor; dan masing-masing satu kes di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, serta Terengganu.

Tiada kes kematian dilaporkan di Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Sehingga kini negara mencatat 2,780,080 kumulatif kes positif dengan 2,708,739 pesakit telah sembuh dan 39,697 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 32,528 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,546 ditempatkan di PKRC; 3,369 pesakit dimasukkan ke hospital; dan 254 pesakit dirawat di ICU dengan 114 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR