[KEMAS KINI] Kematian tertinggi dua hari berturut-turut

Data 18 Julai 2021

Negara hari ini merekodkan kes kematian tertinggi dua hari berturut-turut sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu dengan merekodkan 153 kes, termasuk membabitkan 28 warganegara asing.

Semalam, sebanyak 138 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata dengan kes hari ini, jumlah pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 sejak tahun lalu kini mencecah 7,019 kematian.

Beliau berkata setakat ini 909 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 445 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak 5,778 pesakit disahkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kepada 784,949. Sebanyak 124,593 kes lagi masih aktif,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara turun kepada 10,710 kes dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, berbanding beberapa hari lalu yang mencecah lebih 13,000 kes.

Angka itu menjadikan kumulatif sebanyak 916,561 kes sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara ini awal tahun lalu.

Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 95 kes (0.9 peratus) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan); 45 kes (0.4 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen); 91 kes (0.9 peratus) kategori 3 (radang paru-paru); 4,162 kes (38.9 peratus) kategori 2 (bergejala ringan); dan 6,317 kes (59.0 peratus) kategori 1 (tidak bergejala).

Pada masa sama Dr Noor Hisham juga berkata dalam tempoh masa berkenaan 17 lagi kluster dikesan menjadikan jumlah keseluruhan 3,250 kluster dengan 905 masih aktif dan 2,345 ditamatkan.

Beliau berkata daripada jumlah itu tiga kluster tempat kerja dikesan di Selangor; Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Melaka, Kedah dan Johor dan Kelantan.

Tiga kluster komuniti dikesan di Johor, dan masing-masing satu di Kedah, dan Pahang.

Sementara itu, Sabah turut merekodkan masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 17 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.18, dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu sebanyak 1.31.

Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah WP Putrajaya (nilai RT 1.26), Kedah (nilai RT 1.25), masing-masing (nilai RT 1.19) di Negeri Sembilan dan WP Kuala Lumpur, Pulau Pinang (nilai RT 1.18), masing-masing (nilai RT 1.17) di Selangor, Melaka dan Perak, Sabah (nilai RT 1.15), Kelantan (nilai RT 1.13), Pahang (nilai RT 1.11) dan Johor (nilai RT 1.10).

Data 18 Julai 2021

POPULAR