
Kes rasuah 1MDB merupakan kes berprofil tinggi yang pernah dibicarakan dalam sejarah negara.
Polis mengesahkan kematian saksi dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Kee Kok Thiam yang dilaporkan meninggal dunia di hospital pada Isnin lalu, tiada berunsur jenayah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kematian rakan rapat ahli perniagaan dalam pelarian, Jho Low itu disebabkan faktor kesihatan.
“Kes ini polis siasat sebagai SDR (mati mengejut) dan tiada unsur jenayah,” katanya lapor BH, hari ini.
Sebelum ini, Firma Guaman Valen, Oh & Partners dalam kenyataan hari ini, memaklumkan anak guam mereka meninggal dunia pada Isnin lalu di sebuah hospital akibat strok.
Kee dilaporkan dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa 3 Mei lalu.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 3 pagi dan diarahkan pergi ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 10 pagi, hari sama.
Kee menjadi saksi penting dalam penyiasatan 1MDB yang melibatkan Jho Low dan pihak berkuasa sudah menyoal siasat sekembalinya beliau ke tanah air berikutan pengusirannya dari Macau.
Semasa disoal siasat oleh SPRM, beliau mengesahkan bertemu Low dan rakan buruan dan suspek 1MDB — Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil — di Macau.
Kee dilaporkan diberi amaran agar tidak mendedahkan sebarang maklumat dalam siasatan 1MDB.