[KEMAS KINI] Kematian rekod angka tertinggi

Jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi mencecah angka tertinggi sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu iaitu membabitkan seramai 393 pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu, termasuk yang membabitkan kematian dalam kalangan 99 rakyat asing, menjadikan kumulatif sebanyak 15,211 kes kematian setakat ini.

Sepuluh negeri merekodkan peningkatan kes dengan Selangor mencatatkan 125 kematian baharu berbanding 105 semalam, diikuti Melaka (33 hari ini, 4 semalam), dan Kuala Lumpur (61 hari ini, 18 semalam).

Negeri lain yang mencatat peningkatan kes kematian ialah Sabah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Johor.

Menurutnya dalam tempoh 24 jam itu juga 100 kes meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID) dilaporkan yang turut membabitkan 50 bukan warganegara.

Pada masa sama beliau berkata 22,657 pesakit juga disahkan sembuh – angka tertinggi kes sembuh yang pernah direkodkan setakat ini – menjadikan keseluruhan 1,359,791 kes sembuh.

“Pada hari ini, Malaysia mencatatkan kes sembuh tertinggi dalam tempoh sebulan yang lepas iaitu sebanyak 22,657 kes. Jika dibandingkan pada 25 Julai 2021, jumlah kes yang didiscaj daripada hospital adalah 1,562 orang dan jumlah ini meningkat kepada 2,153 orang pada 25 Ogos 2021. Ini adalah petanda yang positif,” katanya.

Sebanyak 265,841 kes masih aktif, kata Dr Noor Hisham.

Data 26 Ogos 2021

Jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi juga turun di bawah 1,000 kes apabila kini hanya 990 pesakit dirawat di unit itu, manakala 487 pesakit lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdahulu Dr Noor Hisham memaklumkan 24,591 jangkitan baharu yang turut membabitkan 4,885 warganegara asing dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu.

Katanya walaupun hari ini negara mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang pandemik, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berada di kategori klinikal 1 dan 2 semasa didiagnosa, iaitu 23,939 kes bersamaan 97.3 peratus.

Beliau berkata sebanyak 660 kes atau 2.7 peratus pula adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.

“Ini seiring dengan program vaksinasi yang semakin giat dijalankan di seluruh negeri. Sehingga 25 Ogos 2021, sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan populasi di Malaysia di mana 56.9 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia telah menerima vaksin.

“Secara keseluruhan, 19,761 kes (80.3 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan dalam tempoh itu sebanyak 35 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 4,583, tetapi 3,112 kluster telah ditamatkan dengan 1,471 masih aktif.

Daripada jumlah kluster baharu itu, 20 membabitkan tempat kerja, komuniti (sembilan), kumpulan berisiko tinggi (empat) dan satu kluster pusat tahanan di Perak, dan satu kluster pendidikan di Kedah.

Bagi kluster baharu tempat kerja, lapan dikesan di Selangor diikuti Johor (lima), Perak (dua), dan masing-masing satu di Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Pulau Pinang dan Sarawak.

Kelantan pula merekodkan empat kluster komuniti, diikuti masing-masing dua di Johor dan Sarawak, dan satu di Selangor.

Johor pula merekodkan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi, manakala satu di Kedah.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 25 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.02.

Katanya, negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Sarawak dan Perlis (masing-masing dengan nilai RT 1.22), diikuti oleh Sabah (nilai1.21), dan Pulau Pinang (nilai RT 1.12). Semua negeri mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 kecuali Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Negeri Sembilan.

BERITA BERKAIT
POPULAR