[KEMAS KINI] Kematian meningkat, 5,041 pesakit sembuh

Data 12 Julai 2021

Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 102 pesakit, termasuk lima bukan warganegara, berbanding 91 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka kematian baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 meninggal dunia sejak pandemik melanda negara kepada 6,260 kes.

“Kes kematian di Selangor meningkat daripada 34 yang dilaporkan semalam kepada 46 hari ini, manakala 16 kematian direkodkan di Kuala Lumpur, manakala 14 kematian turut dicatat di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 5,041 pesakit disahkan sembuh menjadikan keseluruhannya sebanyak 747,338 kes sembuh daripada 844,870 kes kumulatif, dengan 91,272 kes lagi masih aktif.

“Seramai 964 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi manakala 452 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Dr Noor Hisham memaklumkan 8,574 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang turut membabitkan 40 kes import, sementara daripada 8,534 kes tempatan, 1,447 melibatkan bukan warganegara.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam juga 16 kluster baharu dikesan dengan lapan daripadanya adalah jangkitan dalam komuniti, lima di tempat kerja dan tiga membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Tiga kluster komuniti dikesan di Kelantan membabitkan daerah Kota Bharu dan Tumpat, diikuti dua di Terengganu dan masing-masing satu di Pahang, Perak dan Sarawak.

Selangor merekodkan dua kluster tempat kerja diikuti Kuala Lumpur (dua) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Putrajaya. Selangor, Johor dan Kelantan masing-masing turut mencatatkan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 11 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.15 dengan Putrajaya kekal mencatat angka tertinggi iaitu RT 1.31.

Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Selangor (nilai RT 1.18), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (nilai RT 1.17), Kedah (nilai RT 1.17), Pahang (nilai RT 1.14), Sabah (nilai RT 1.08), Melaka (nilai RT 1.08), Terengganu (nilai RT 1.08), Perak (nilai RT 1.07), Pulau Pinang (1.05), Negeri Sembilan (nilai RT 1.02), dan Johor (nilai RT 1.02).

POPULAR