Kematian meningkat semula semalam

Kes kematian harian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Sabtu, 19 Mac 2022) meningkat semula, setelah turun kepada 59 kes pada Jumaat, menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dalam tempoh itu seramai 85 pesakit Covid-19 meninggal dunia, termasuk 23 kes membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan sebelum dibawa ke hospital dan dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian akibat Covid-19 di Malaysia sejak awal 2020 hingga semalam meningkat kepada 34,329 kes, termasuk 7,199 kes BID.

Bagaimanapun tiada maklumat diberikan sama ada 23 kes BID semalam turut melibatkan 273,974 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah.

Pesakit yang diarah menjalani kuarantin di rumah adalah mereka yang positif Covid-19, tetapi mempunyai gejala ringan atau tiada gejala (asimptomatik) dan tidak memerlukan rawatan yang intensif.

Berikut adalah jumlah kes kematian mengikut kumpulan umur pada minggu ini bagi seluruh negara:

  • 191 kes (80 tahun dan ke atas);
  • 142 kes (70 – 79 tahun);
  • 123 kes (60 – 69 tahun);
  • 63 kes (50 – 59 tahun);
  • 30 kes (40 – 49 tahun);
  • 19 kes (30 – 39 tahun);
  • 8 kes (18 – 29 tahun); dan
  • masing-masing satu kes bagi kategori usia 0 hingga 4 tahun; 5 – 11 tahun; dan 12 – 17 tahun.

Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan Johor mencatat kematian tertinggi sebanyak 18 kes, menjadikan kumulatif sebanyak 4,325 kes.

Sehingga semalam negeri itu mencatat 360,932 kumulatif kes positif, dengan 337,291 pesakit telah pulih, dan 19,316 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 18,358 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 82 ditempatkan di PKRC; 842 dimasukkan ke hospital; dan 34 dirawat di unit rawatan rapi dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Perak mencatat 17 kes kematian semalam, diikuti Selangor (15 kes); Kedah (10); Pulau Pinang (lima); masing-masing empat di Melaka serta Pahang; masing-masing tiga di Kelantan serta Kuala Lumpur; masing-masing dua di Sabah dan Sarawak dan masing-masing satu kes di Terengganu serta Putrajaya.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Sembilan, Perlis dan Labuan, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 19 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR