Kematian meningkat, Selangor dan KL tertinggi

Data 6 Julai 2021

Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat lagi hari ini kepada 103 kes berbanding 77 yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kekal tinggi dengan masing-masing mencatatkan 43 kes dan 18 kes.

Beliau berkata 94 kematian membabitkan warganegara manakala selebihnya bukan warganegara, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak pandemik Covid-19 melanda negara kepada 5,677 kes.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 4,797 pesakit telah sembuh menjadikan keseluruhannya 714,815 kes.

“Sebanyak 72,201 kes masih aktif di seluruh negara dan sedang dirawat. 943 kes dirawat di unit rawatan rapi dan 450 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham juga memberitahu dalam tempoh itu 21 lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhan sebanyak 2,952 dengan 2,100 ditamatkan dan 852 kluster masih aktif.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini 11 daripada kluster baharu itu membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti (sembilan kluster) dan Pusat Tahanan (satu).

Katanya, tiga kluster tempat kerja dikesan di Kuala Lumpur; masing-masing dua kluster di Pulau Pinang dan Perak; dan masing-masing satu di Selangor, Kelantan, Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.

Sembilan kluster komuniti pula membabitkan masing-masing dua di Johor, Sarawak, dan Kelantan, manakala masing-masing satu kluster di Selangor, Perak, Terengganu, dan Pahang.

Selangor turut merekodkan satu kluster Pusat Tahanan.

Sementara itu, kluster tempat kerja di Tapak Bina Damanlela2 di Kepong, Kuala Lumpur merekodkan jumlah jangkitan tertinggi membabitkan 630 kes, diikuti kluster Industri Lorong Senawang Empat di Negeri Sembilan dengan 324 jangkitan.

Data 6 Julai 2021

POPULAR