
Sebanyak 26 kes kematian semalam (7 Mac 2022) melibatkan pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau kes ‘brought in death’ (BID).
Jumlah kematian harian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (7 Mac 2022) meningkat semula kepada 77 kes, berbanding 55 pada Ahad, menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Daripada jumlah kematian semalam, 26 kes melibatkan pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau ‘brought in death’ (BID).
Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada kes BID itu turut melibatkan kalangan individu yang menjalani kuarantin di rumah.
Angka kematian semalam menjadikan kumulatif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 33,305 kes, termasuk 6,895 kes BID.
Sejak kebelakangan ini, jumlah harian kes BID didapati meningkat dan ini diakui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sambil memaklumkan kebanyakan pesakit yang meninggal dunia itu tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19.
Menurut Khairy kira-kira 91 peratus daripada 113 kes BID dalam tempoh 5 Februari hingga 21 Februari tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19.
Sementara itu, statistik laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan, Johor merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 13 kes.
Angka itu menjadikan kumulatif kematian di Johor meningkat kepada 4,167 kes, kedua tertinggi berbanding negeri-negeri lain selepas Selangor yang mencatat 10,260 kes.
Sehingga semalam, Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri pada 12 Mac ini, merekodkan 335,034 kumulatif positif, dengan 312,391 pesakit telah sembuh dan 18,476 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu seramai 17,127 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 240 ditempatkan di PKRC; 1,075 dimasukkan ke hospital; dan 34 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 26 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sehingga 6 Mac lalu seramai 3,059,691 atau 80.6 peratus daripada populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, 3,242,143 atau 85.4 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,980,429 atau 52.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.
Bagi negeri-negeri lain, Kedah dan Selangor masing-masing mencatat 12 kes kematian, diikuti masing-masing enam di Kelantan serta Terengganu; dan lima kes masing-masing di Negeri Sembilan serta Sabah.
Melaka dan Perak pula masing-masing merekodkan empat kematian; masing-masing tiga kes di Pahang serta Putrajaya; dan dua kes masing-masing di Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.
Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perlis, Sarawak dan Labuan, semalam.