Kemasukan pesakit di hospital Melaka akibat Covid-19 naik mendadak

Seminggu selepas berlangsungnya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 8 November lalu, kes kemasukan pesakit Covid-19 di hospital negeri itu naik mendadak sebanyak 57 peratus.

Menurut laporan portal CovidNOW, kadar peningkatan itu kedua tertinggi di negara ini dan dicatatkan ketika kempen PRN masuk minggu kedua.

Melaka kini menjadi tumpuan jentera serta pemimpin utama parti politik yang berkampung untuk pusingan akhir kempen PRN.

Lonjakan itu menjadikan jumlah penggunaan katil hospital kerajaan di Melaka semakin membimbangkan, iaitu pada kadar 77 peratus dengan 24.1 peratus daripadanya bagi kes Covid-19.

Tujuh hari lalu yang juga hari pertama kempen PRN Melaka, jumlah kemasukan harian pesakit COVID-19 mencatatkan 15 kes, namun meningkat kepada 26 kes pada Selasa, disusuli 70 kes (Rabu), 26 kes (Khamis), 31 kes (Jumaat), 32 kes (Sabtu) dan 33 kes semalam.

Selain itu, jumlah kes baharu Covid-19 di negeri bersejarah itu juga mencatat peningkatan tiga peratus sejak tujuh hari lalu, dengan 195 purata kes dalam tempoh seminggu.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Melaka pula tidak menunjukkan sebarang penurunan dan menghampiri 1.0, apabila mencatatkan 0.97 semalam.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, purata Rt di seluruh negara kembali mencatatkan 1.0, sekali gus bererti pola penurunan jumlah kes baharu sejak beberapa minggu lalu sudah terhenti.

“Ini bermakna kes harian semakin mendatar dan kebimbangan kita jika ia kembali meningkat. Orang ramai digesa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan disaran segera mendapatkan dos penggalak bila janji temu diberi,” katanya.

Isu pelanggaran SOP sepanjang tempoh kempen PRN Melaka antara perkara utama yang timbul sejak Isnin lalu, dengan semua parti politik yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah dikenakan kompaun.

BERITA BERKAIT
POPULAR