Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital meningkat berganda

Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-6/2022 bagi kategori 3, 4, dan 5 menunjukkan peningkatan berganda di semua peringkat umur kecuali remaja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi ME 6/2022 peningkatan berganda turut melibatkan golongan kanak-kanak, individu dewasa dan warga tua

“Peningkatan berganda dilihat ke atas golongan kanak-kanak, orang dewasa dan warga tua bagi ME ke 6/2022.

“Oleh itu, KKM menyarankan agar kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa serta warga tua yang layak untuk segera mendapatkan vaksinasi dan dos penggalak di PPV berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan hingga semalam, kadar penggunaan katil bukan unit rawatan rapi (ICU), khusus bagi pesakit Covid-19, melebihi 80 peratus di beberapa negeri seperti Selangor, Perlis, dan Kelantan.

“Manakala kadar penggunaan katil ICU khusus bagi pesakit Covid-19 adalah sebanyak 54 peratus di Johor, namun lain-lain negeri berada di bawah 50 peratus penggunaan katil ICU,” katanya.

Beliau berkata sehingga semalam juga, seramai 4,700 pesakit Covid-19 berada di hospital di mana kategori 3, 4 dan 5 adalah sebanyak 376 kes (8.0%) daripada keseluruhan pesakit disebabkan virus itu.

Antara sebab-sebab kemasukan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ke hospital adalah:

  • Medical emergency (contohnya penyakit kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal);
  • Baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal (contohnya darah tinggi atau kencing manis) semasa mendapat pemeriksaan di CAC;
  • Penjaga kepada pesakit Pediatrik dan Geriatrik;
  • Kes-kes Obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi;
  • Pesakit Immunocompromised (HIV, pesakit yang sedang menerima rawatan kemoterapi);
  • Kemasukan melalui wad kecemasan;
  • Keadaan rumah yang kurang bersesuaian;
  • Kes kanak-kanak;
  • Dehidrasi atau kekurangan air di dalam badan;
  • Demam berpanjangan dan kelesuan;
  • Mempunyai penyakit kronik; dan
  • Tiada penjaga.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan seramai 5,724 pesakit telah sembuh hari ini menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,852,437 kes atau 93.8 peratus daripada 3,040,235 kumulatif kes positif.

Dalam tempoh 24 jam itu juga sebanyak 65 kes import dikesan membabitkan 29 warganegara dan 36 bukan warganegara, manakala 21,007 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 481 rakyat asing.

Sehingga kini seramai 187 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 109 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak, 10 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,596 kluster dengan 6,175 telah ditamatkan dan 421 lagi masih aktif, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR