Kemasukan baharu ke hospital jadi indikator peralihan fasa satu ke atas

Jumlah kemasukan baharu ke hospital bagi kes bergejala kategori 3, 4 dan 5 akan dijadikan indikator bagi negeri-negeri yang berada dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk beralih ke fasa berikutnya setelah kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa dicapai.

Langkah baharu itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu ini.

Keputusan itu juga dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan serta pengalaman antarabangsa dan domestik dengan penelitian bahawa penularan Covid-19 akan menurun seiring peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Menteri Penyelaras PPN Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata MPN memutuskan bahawa indikator tersebut hanya akan menggantikan indikator sedia ada – bilangan kes Covid-19 harian baharu – hanya apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam fasa satu telah mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

“Nilai ambang seluruh negara bagi bilangan kes bergejala untuk peralihan fasa satu ke fasa dua iaitu 2,000 kes sehari seluruh negara (6.1 per 100,000 penduduk), peralihan fasa dua ke fasa tiga 1,000 kes (3.0 per 100,000 penduduk) manakala peralihan fasa empat ke lima 400 kes (1.3 per 100,000 penduduk),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penilaian bagi peralihan daripada satu fasa ke fasa selanjutnya masih tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator termasuk penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

“Sebagai contoh bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di fasa satu, apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes yang akan diguna pakai ialah kemasukan kes baharu ke hospital yang bergejala.

“Seterusnya, negeri ini hanya boleh beralih ke fasa dua jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU sederhana,” katanya.

Beliau berkata keputusan ini juga diambil selepas risiko penularan dilihat jelas terkawal di Sarawak dan Labuan dengan pengurangan ketara kes bergejala serta yang memerlukan rawatan di wad ICU.

“Walaupun Sarawak dan Labuan berdepan dengan penggunaan kapasiti wad ICU penuh semasa bulan Jun namun setelah kadar vaksinasi mencecah 50 peratus pada bulan Julai, penggunaan kapasiti wad ICU telah menurun bagi kedua-duanya dan mencapai tahap mencukupi,” katanya.

Beliau berkata penilaian risiko bagi mempertimbang pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial akan lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes bergejala kategori tiga, empat dan lima berbanding merujuk jumlah kes harian baharu.

“Contohnya, walaupun kes harian baharu di Sarawak mencecah 400 sehari tetapi bilangan pesakit baharu kategori tiga, empat dan lima kurang daripada 10 pesakit atau dua peratus daripada kes harian.

“Negara-Negara seperti United Kingdom juga telah mengambil pendekatan yang tertumpu kepada kadar kes bergejala dan telah terus membenarkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan penilaian risikonya iaitu jumlah kes bergejala adalah rendah walaupun jumlah kes baharu masih tinggi,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata sejak awal pengumuman PPN, kerajaan telah menekankan pelan itu perlu bersifat dinamik dengan semua pendekatan yang diambil adalah berdasarkan data dan sains.

“Ini termasuklah penetapan indikator dan nilai ambang untuk peralihan fasa. Penggunaan nilai indikator baharu ini akan dapat menambah baik penilaian risiko dalam mempertimbang pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial dalam konteks peralihan fasa PPN,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR