
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaminkan doa dibaca penyokongnya setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (23 September 2022) membebas dan melepaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah. - Gambar Agenda Daily
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (23 September 2022) membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem visa asing luar negara (VLN) ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur rasuah di bawah Seksyen 16 AB Akta Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hakim memutuskan tiga saksi utama iaitu bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan bekas Pengurus Pentadbiran David Tan Siong Sun, bukan saksi yang boleh dipercayai.
Dalam penghakimannya Yazid berkata saksi -saksi yang memberi keterangan terhadap Zahid tidak boleh dipercayai atau tidak mempunyai kredibiliti dan mahkamah tidak boleh bergantung kepada kesaksian mereka.
Hakim berkata walaupun ada cadangan bahawa Zahid telah menerima wang, tetapi tidak ada bukti yang mencukupi untuk membuktikannya.
Menyentuh mengenai penghantaran wang tunai ke rumah Zahid, beliau berkata pihak pendakwaan tidak mengeluarkan sebarang rakaman kamera litar tertutup untuk menunjukkan perkara ini berlaku.
Yazid berkata terdapat persoalan yang timbul sama ada wang telah dihantar dan bertukar tangan dengan Zahid seperti yang didakwa dalam pertuduhan.
“Mengenai keseluruhan keterangan, mahkamah ini mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid,” katanya.
Terdahulu, Zahid berbaju Melayu putih tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah jam 8.50 pagi dengan diiringi kira-kira 100 penyokong berpakaian serba hitam dan putih, membawa kain rentang tertera ‘Solidariti 4 AZH’.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, turut hadir.
Kira-kira 100 pengamal media dari dalam dan luar negara mula tiba seawal 7 pagi bagi membuat liputan kes tersebut.
Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 September lalu.
Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani, manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Pada 26 Jun 2019, Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN. Bagaimanapun pada 31 Julai 2019, mahkamah membenarkan permohonan Presiden UMNO itu untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.
Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
Zahid, 69, didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Dia didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lagi, Zahid turut didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc; dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.
Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.