Keluarga anak yatim mangsa Covid-19 lega keprihatinan kerajaan

Peruntukan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia yang diumumkan menerusi Bajet 2022 hari ini bagi memastikan masa depan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di negara ini terus terjaga, melegakan keluarga kanak-kanak terbabit.

Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak melahirkan rasa syukur dan lega dengan bantuan itu kerana ia menjanjikan masa depan lebih baik kepada lima anak saudaranya yang kehilangan ibu bapa mereka akibat jangkitan virus tersebut.

Beliau kini bergilir-gilir dengan ahli keluarganya yang lain untuk menjaga Hannan Humaira Mohd Nasir, 3, Hawwas, 6, Harraz, 8, Husna Humaira, 9, dan Hadrami, 11.

Bapa kelima-lima beradik iaitu Mohd Nasir Tahal meninggal dunia pada 11 Ogos lepas manakala ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, yang juga kakak Mohd Ariff, menghembuskan nafas terakhir pada 7 Okt selepas pasangan suami isteri itu menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

“Saya bersyukur dengan pengumuman Bajet 2022 ini sebab masa depan dan pendidikan mereka akan terjamin serta terbela dan tahu kerajaan nak bantu mereka sampai umur 18 tahun.

“Kami bukan daripada keluarga yang senang… datuk dan nenek mereka pun umur dah lanjut dan tiada pendapatan. Jadi bantuan ini sangat-sangat membantu untuk kami membesarkan lima beradik ini,” katanya lapor Bernama.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, berkata kerajaan menyediakan peruntukan itu kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan kanak-kanak terbabit.

Mohd Ariff juga berkata bantuan itu akan diguna untuk memberi pendidikan terbaik dan menyediakan keperluan asas harian kepada mereka.

Pengasas Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Semarak Syed Mohd Bakri Syed Ishak pula berkata pihaknya menyambut baik peruntukan itu selain menyifatkan ia tepat pada masanya di kala virus Covid-19 meragut nyawa ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil di negara ini.

Beliau turut berpandangan bahawa biarpun kerajaan menyediakan peruntukan itu, pihak NGO perlu terus membantu sekadar yang mampu.

“Kalau sudut kewangan mereka sudah selesai, NGO pula boleh beri bantuan dari sudut pendidikan dan pembelajaran kepada anak-anak yatim terbabit,” katanya sambil menambah pendidikan kanak-kanak terbabit antara perkara yang perlu diutamakan kerana ia adalah penentu masa depan mereka.

Sejak wabak Covid-19 melanda negara, lebih 4,700 kanak-kanak telah hilang tempat bermanja apabila ibu bapa mereka meninggal dunia akibat dijangkiti virus itu.

Pada 23 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai sebuah institusi bagi membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam mendapatkan sokongan terutama dari aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

BERITA BERKAIT
POPULAR