
Warga Singapura tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka di luar kawasan awam kecuali kawasan tertutup. - Gambar ST
Kementerian Kesihatan (KKM) bakal mengumumkan kelonggaran arahan pemakaian pelitup muka tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan sebelum ini bagi menyekat penularan Covid-19, bagaimanapun Khairy memberi bayangan pemakaian pelitup muka hanya akan dilaksanakan ketika berada di tempat awam yang dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2020.
Menurutnya, kelonggaran itu susulan kejayaan pengurusan Covid-19 dalam negara yang kini menyaksikan jangkitan semakin terkawal selain penurunan kes kemasukan ke hospital.
“KKM akan mengumumkan sedikit kelonggaran untuk kita kembali hampir seperti normal tetapi biarlah kita lambat sedikit asal kita selamat,” katanya dipetik laporan BH semasa Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya.
Untuk rekod, langkah sama juga diumumkan negara jiran, Singapura selepas Perdana Menterinya Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa orang ramai tidak diwajibkan lagi memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan di republik itu kerana risiko jangkitan adalah jauh lebih rendah.
Lapor berita.mediacorp, Hsien Loong berkata, pemakaian tersebut bagaimanapun masih diwajibkan ketika berada di dalam bangunan.
Pengumuman tersebut sebahagian daripada tindakan Singapura menjalani kehidupan dengan Covid-19.
Dalam itu berlainan, Khairy memberitahu kesediaannya dipanggil semula Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu MySejahtera.
Khairy menegaskan beliau sudah memberi keterangan yang jelas sewaktu kali pertama dipanggil PAC berhubung isu Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di Parlimen pada 14 April lalu.
Beliau turut memaklumkan setakat ini PAC juga belum menghubunginya bagi meminta memberi keterangan sekali lagi.
“Belum lagi (dipanggil PAC) … saya juga tidak pasti apa yang dimaksudkan (Pengerusi PAC), saya jelas dengan keterangan saya (sebelum ini).