
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional (PN) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya bahawa sejumlah RM10 bilion subsidi diesel telah diselewengkan tahun lepas.
Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkata beliau telah menyerahkan surat kepada Speaker Dewan Rakyat pada Selasa (14 Mac) untuk merujuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kepada panel, berhubung perkara itu.
“Ini berikutan ucapan beliau ketika pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari yang mengandungi kenyataan yang boleh mengelirukan Dewan dan boleh dilihat sebagai menghina Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini (Rabu, 15 Mac 2023).
Bulan lalu, Anwar menegaskan ketika pembentangan Bajet 2023 bahawa kerajaan telah kerugian hampir RM10 bilion dalam pelaksanaan subsidi diesel.
Perdana Menteri berkata selain ketirisan dalam subsidi diesel, terdapat lagi pembaziran berjumlah RM3 bilion, kehilangan dana awam dan pembayaran yang tidak cekap seperti yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada 2020 dan 2021.
Mengulas lanjut, Rosol berkata berdasarkan rekod yang diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, antara 2018 dan 2022, ia berjaya merampas sejumlah RM18.7 juta subsidi diesel.
“Kedua, berdasarkan jawapan berasingan kementerian, mereka hanya mula membentuk pasukan petugas untuk menentukan kesahihan tuntutan berkaitan kebocoran RM10 bilion.
“Ketiga, dalam satu lagi jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sehari selepas pembentangan Bajet 2023, kementerian hanya mula mengumpul data (mengenai isu itu).
“Jelas sekali, terdapat beberapa percanggahan dengan data yang diberikan oleh kementerian dan kenyataan yang dibuat oleh Tambun (Anwar),” katanya sambil menambah bahawa ini adalah sebab mengapa beliau mahu merujuk Anwar kepada jawatankuasa itu.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata isu itu adalah perkara serius dan akan dibangkitkan kepada Speaker
“Walaupun saya mempengerusikan mesyuarat sekarang, untuk menyelaraskan sebarang keputusan Dewan, kita akan merujuk perkara itu kepada Speaker terlebih dahulu untuk keputusan dibuat,” katanya.
Timbalan Speaker berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kedua-dua ahli Parlimen telah direkodkan dalam Hansard.
“Saya percaya Speaker akan membuat keputusan mengenainya. Sila tunggu,” kata Ramli.