
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula esok hingga Jumaat ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata kawasan terlibat adalah seluruh Kelantan dan Terengganu, manakala di Pahang melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin, sementara di Johor membabitkan Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, menurut laporan Bernama.
“Penumpuan angin timur laut dijangka berpotensi membawa hujan lebat dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Bernama juga melaporkan Seramai 207 mangsa banjir daripada 45 keluarga di Kelantan ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pasir Mas dan Gua Musang setakat 3 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan memaklumkan kesemua mangsa banjir tersebut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, di Pasir Mas, manakala di Gua Musang membabitkan PPS SK Jeram Tekoh, Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi (1).
Sementara itu, mengikut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ dua sungai di negeri ini merekodkan bacaan melepasi paras waspada dengan trend menaik.
Dua lokasi terlibat ialah Sungai Kelantan di Kuala Krai pada bacaan 20.4 meter (waspada 20m), dan Kampung Temangan, Machang 14.2m (waspada 14m).