Kelantan catat kes harian tertinggi, 405 pesakit Covid-19 mangsa banjir

Hanya enam sahaja negeri hari ini mencatat peningkatan jumlah jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini.

Daripada enam negeri itu, Kelantan mencatat 370 kes baharu berbanding 345 semalam menjadikan kumulatif kes di negeri itu sebanyak 166,064 kes, dengan 161,771 pesakit telah sembuh dan 1,230 kes kematian.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 3,026 kes aktif dengan 2,209 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 470 ditempatkan di PKRC; 318 dimasukkan ke hospital; dan 29 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 14 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 25 daripada 772 kluster Covid-19 yang dikesan di negeri itu masih aktif. Daripada jumlah itu 11 melibatkan kluster tempat kerja, pendidikan (10), keagamaan (tiga), dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kelantan juga adalah negeri kedua terendah dari segi peratusan jumlah individu keseluruhan yang belum lengkap divaksinasi, selepas Sabah.

Keseluruhannya, sebanyak 61.5 peratus atau 1,172,253 individu di Kelantan telah lengkap divaksinasi, manakala 62.8 peratus atau 1,196,097 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 137,394 lagi menerima dos penggalak.

Dalam tempoh 24 Februari hingga semalam belum sampai sejuta individu dewasa di Kelantan yang lengkap divaksinasi atau lebih tepat berjumlah 999,549 atau 80.9 peratus, manakala 82.2 peratus atau 1,016,154 populasi dewasa yang menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi negeri-negeri lain pula, Terengganu mencatat 270 kes baharu berbanding 213 semalam; diikuti Kedah (269 kes baharu, 207 semalam); Pulau Pinang (263 kes baharu, 222 semalam); Pahang (225 kes baharu, 194 semalam); dan Sabah (168 kes baharu, 161 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 3,528 kes baharu hari ini, 66 atau 1.9 peratus membabitkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 3,462 lagi pesakit kategori 1 dan 2.

Kategori 1 adalah pesakit tidak bergejala; bergejala ringan (kategori 2); bergejala dan mengalami radang paru-paru (kategori 3); bergejala dan mengalami radang paru-paru serta memerlukan bantuan oksigen (kategori empat); dan bergejala kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan dan perlu dirawat di ICU (kategori 5).

Menurutnya dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi juga seramai 4,489 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,657,074 kes pulih atau 97.1 peratus daripada 2,735,241 kumulatif kes positif.

Katanya sebanyak 103 kes import yang turut melibatkan 13 rakyat asing turut dikesan dalam tempoh itu, manakala selebihnya adalah penularan tempatan yang juga membabitkan 178 warganegara asing.

Sehingga kini, katanya seramai 339 pesakit dirawat di ICU dengan 180 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak empat lagi kluster baharu dikesan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhannya 6,098 kluster dengan 5,869 telah ditamatkan dan 229 lagi masih aktif.

Beliau berkata sehingga jam 3 petang tadi jumlah pesakit Covid-19 dalam kalangan 53,696 mangsa banjir adalah seramai 405 individu, namun tiada kes positif dilaporkan di pusat penempatan sementara (PPS).

Pada 24 Disember 2021, sebanyak 324 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir. Ia membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut sebanyak 148 kes; penyakit kulit (93 kes); Acute Gastroenteritis (75 kes); dan konjunktivitis (lapan kes), katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR