Kelantan belum kemuka cadangan ‘lockdown’ kepada Pusat

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub (kiri) ketika lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid -19 Berisiko Rendah (PKRC) di SMK Salor dan Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, hari ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri belum mengemukakan cadangan ‘lockdown’ di seluruh Kelantan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Walaupun, kes jangkitan Covid-19 di Kelantan meningkat, beliau berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuh keputusan kepada Kerajaan Pusat sama ada mahu mengenakan ‘lockdown’ atau sebaliknya.

“Setakat ini belum ada cadangan untuk melaksanakan lockdown, kita sedang tunggu isyarat daripada keputusan Pusat, dan sekarang kita menunggu apa sahaja arahan dan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawat Covid-19 (PKRC), di Sekolah Menengah Kebangsaan Salor, di sini hari ini.

Terdahulu beliau mendengar taklimat Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang memaklumkan PKRC terbaharu dan terbesar di Dewan Utama Kampus Hospital Universiti Sains Malaysia akan beroperasi pada Isnin, dengan kapasiti 496 katil.

Ahmad berkata, tahap kebimbangan terhadap peningkatan kes positif Covid-19 terus dirasai, lebih-lebih lagi kebelakangan ini angka kes baharu di negeri ini masih tinggi.

“Kita sekali lagi mengharapkan masyarakat benar-benar dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kerana itu satu cara yang telah diakui oleh dunia dalam mengurangkan wabak ini dari terus merebak, sebab wabak ini ada dalam komuniti,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub ketika lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid -19 Berisiko Rendah (PKRC) di SMK Salor dan Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, hari ini.