Kelantan arah kontak rapat tinggal serumah pakai gelang kuarantin

Semua kontak rapat individu positif Covid-19 yang tinggal di dalam satu rumah di Kelantan akan dipakaikan gelang kuarantin selama 14 hari daripada tarikh akhir terdedah dengan pesakit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata langkah itu akan dilaksanakan tanpa perlu kontak rapat berkenaan menunggu pengambilan sampel Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata langkah itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, semalam.

“Pemakaian gelang ini akan dilakukan segera tanpa menunggu pengambilan sampel Covid-19, selaras dengan Seksyen 15(A) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021).

“Ini bertujuan untuk menyekat segera pergerakan individu setelah mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sah,” katanya.

Beliau berkata, ini merupakan strategi dalam melandaikan keluk pandemik Covid-19 di Kelantan, susulan peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini.

“Rakyat Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, dan memantau status kesihatan diri. Sila dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala. Terus berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, Kelantan merekodkan 612 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan Kota Bharu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 251 kes.

Kes baharu lain membabitkan 68 di penjara, lokap dan depoh tahanan Imigresen; Pasir Mas (65 kes); Pasir Puteh (59 kes); Bachok (57 kes); Tumpat (55 kes); Tanah Merah (26 kes); Machang (13 kes); Jeli (10 kes); dan masing-masing empat kes di Kuala Krai dan Gua Musang.

BERITA BERKAIT
POPULAR