
Crackhouse telah beroperasi di pinggir bandar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dengan hanya mempunyai lesen restoran, bukan lesen hiburan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Kelab Komedi Crackhouse kerana beroperasi tanpa lesen yang betul, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata Crackhouse telah beroperasi di pinggir bandar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dengan hanya mempunyai lesen restoran, bukan lesen hiburan.
“Mereka memerlukan kedua-duanya. Jadi mereka pasti melanggar syarat (lesen),” katanya menurut laporan The Star.
Jalaluddin berkata surat itu akan dikeluarkan pada esok (Selasa, 12 Julai) dan Crackhouse mempunyai 14 hari untuk menjawab.
“Mereka boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari dan memohon lesen hiburan, dan ini terletak di bawah bidang kuasa jawatankuasa pelesenan DBKL.
“Saya akan menyerahkan kepada jawatankuasa untuk menyiasat sama ada lesen sekarang telah disalahgunakan,” tambahnya.
Hujung minggu lalu, video berdurasi 54 saat tular di media sosial menunjukkan seorang wanita mendakwa telah menghafaz 15 juz al-Quran dan kemudiannya membuang tudung dan baju kurungnya, meninggalkannya dalam pakaian yang mencolok mata dan dianggap menghina Islam.
Pada Ahad (10 Julai), DBKL mengumumkan penutupan sementara kelab komedi itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis itu.
Susulan kejadian itu, wanita Islam terbabit dan teman lelakinya bukan Melayu telah ditangkap sementara polis serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.
Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Manakala Jawi menjalankan siasatan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Mereka yang didapati bersalah menghina atau menyebabkan penghinaan terhadap Islam boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.