
Malaysia membenarkan eksport ayam kampung dan ayam hitam mulai hari ini, 14 Jun 2022.
Isu mengenai kekurangan ayam di pasaran akan diselesaikan dalam tempoh sebulan bagi memastikan bekalan mencukupi sempena sambutan Hari Raya Haji yang akan datang.
Ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berdasarkan sesi intervensi dan penglibatan yang dijalankan bersama pemain industri untuk menangani isu itu.
“Daripada analisis kami, isu ini akan selesai dalam masa sebulan lagi dan Insya-Allah pada Aidiladha nanti, bekalan ayam akan mencukupi.
“Ini adalah komitmen daripada semua pihak yang terlibat iaitu daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, penggiat industri dan galakan yang diberikan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Veterinar Sedunia peringkat kebangsaan di Serdang, hari ini.
Menurutnya penggiat industri juga memberi komitmen dan jaminan untuk meningkatkan pengeluaran ayam.
“Kami juga telah mula mengimport ayam sejak Januari, yang akan membantu menampung kekurangan bekalan,” katanya.
Norlizan berkata beberapa faktor telah dikenal pasti menyebabkan kekurangan ayam sejak dua minggu lalu.
“Pertama, penyakit Newcastle. Penyakit ini sudah wujud di Malaysia, tetapi terdapat peningkatan peratusan disebabkan program vaksinasi yang tidak mengikut rejim yang sepatutnya, ditambah dengan kekurangan pekerja dan lain-lain.
“Kedua, perubahan cuaca, terutama di ladang terbuka, di mana ayam menghadapi tekanan dan pertumbuhannya terjejas.
“Ketiga, peningkatan kos pengeluaran. Harga makanan ayam merangkumi kira-kira 70 peratus kos pengeluaran.
“Apabila terdapat peningkatan lebih 30 peratus bagi makanan ayam, kita dapat melihat kesan yang ketara kepada kos pengeluaran.
“Semua ini – penyakit, perubahan cuaca dan kekurangan pekerja, menyebabkan penternak terpaksa mengurangkan populasi atau pengambilan ayam, yang kesannya hanya dapat dilihat tiga minggu kemudian,” katanya.