Kejayaan vaksinasi, Muhyiddin hargai kerja keras barisan hadapan

Kejayaan program vaksinasi negara yang menghampiri sasaran 90 peratus populasi dewasa tidak akan berjaya dicapai tanpa kerja keras barisan hadapan, kata mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata apabila sasaran tersebut dicapai ia bermakna kebenaran rentas negeri akan diberikan bagaimanapun menggesa orang ramai tidak mengambil mudah dalam penjagaan prosedur operasi standard (SOP) asas untuk mencegah penularan Covid-19.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan dalam portal COVIDNOW, sasaran negara untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi hanya berbaki 0.3 peratus sahaja lagi.

“Ini bermakna kita semakin hampir untuk mendapat kelonggaran rentas negeri sebagaimana dibenarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Walaupun begitu, kita hendaklah sentiasa mematuhi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) asas,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran akaun Facebooknya.

Mengimbau kembali pelaksanaan vaksinasi yang diperkenalkan semasa pentadbirannnya, Muhyiddin berkata langkah pembukaan pusat pemberian vaksin mega ternyata berjaya mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat dan membendung penularan Covid-19 dalam masyarakat.

“Dua minggu yang lalu, selepas 150 hari beroperasi, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega World Trade Centre KL (WTCKL) akhirnya melabuhkan tirai operasi. Sejak pembukaannya pada 5 Mei, PPV WTC KL telah berjaya memberikan 1.2 juta dos vaksinasi kepada penduduk Lembah Klang.

“Saya sendiri sempat melawat PPV Mega pertama di negara ini sewaktu mula dibuka pada bulan Mei lepas. Saya masih ingat ketika itu, betapa kagumnya saya dengan proses vaksinasi yang lancar dan teratur walaupun dibuat pada skala besar. Semakin kita menghampiri sasaran vaksinasi negara yang akan menjangkaui 90 peratus populasi dewasa di Malaysia tidak lama lagi, semakin banyak PPV bakal ditutup secara berperingkat-peringkat,” katanya lagi.

Menurut Muhyiddin, langkah pembukaan PPV mega pada awalnya dikritik banyak pihak namun hasil keputusan proaktif kerajaan untuk meneruskan langkah tersebut kini terbukti membuahkan hasil apabila hampir populasi dewasa di Lembah Klang lengkap divaksin lebih awal daripada jangkaan.

“Walaupun pembukaan PPV Mega ini pada mulanya dikritik oleh sesetengah pihak, namun Kerajaan di bawah kepemimpinan saya pada masa itu memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di bawah YB Khairy Jamaluddin and YB Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan vaksinasi dapat diberikan secepat mungkin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia.

“Alhamdulillah, berkat usaha semua pihak terutama di PPV mega ini, populasi dewasa di Lembah Klang telah berjaya divaksinasi lebih awal dari jangkaan,” katanya lagi.

Selain itu, Malaysia juga kini menjadi antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia, ia hasil kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pada itu, tren jangkitan Covid-19 yang semakin menurun selari dengan jumlah vaksin yang diberikan kepada orang ramai menunjukkan perancangan kerajaan berada di landasan yang betul.

“Tren jangkitan pandemik COVID-19 kini menunujukkan penurunan dan ini boleh lihat berdasarkan penurunan dalam jumlah kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Ini jelas membuktikan usaha dan perancangan Kerajaan selama ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengurus program vaksinasi negara dan seterusnya membuka sektor sosial dan ekonomi secara terancang dan selamat,” ujarnya.

Muhyiddin memberi penghargaannya kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang malam bagi memastikan program vaksinasi negara berjalan dengan lancar dan pantas.

“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pasukan sukarelawan yang bekerja keras, siang dan malam bagi menjayakan PICK ini.

“Jasa dan pengorbanan anda sekalian menjadi bukti jelas bahawa semangat juang dan kecekalan rakyat Malaysia masih utuh dalam kita berhadapan cabaran yang cukup getir ini.

“Jutaan terima kasih juga kepada semua petugas di hospital-hospital seluruh negara dan barisan hadapan keselamatan yang masih terus memantau pematuhan SOP,” ujarnya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR